Jika difikirkan waktu lapang memang tidak pernah ada masa yang lapang. Semunaya dipenuhi dengan aktiviti dan tuntutan hidup. Jadi ketika semua anak-anak berkumpul di rumah sempena cuti Maal Hijrah dan bersambung cuti hujung minggu saya akan meminta mereka memberi sedikit masa untuk diri saya relax dan recharge iman dan iltizam saya. Dalam perjalanan sebagai seorang hamba Allah yang sedar akan tuntutan agama saya selalu merasa semput dan tak cukup nafas. Adakala saya ingin 'pencen' dan duduk diam-diam , tetapi mungkin sudah ditentukan Allah saya diberi sekeping hati yang tak sampai hati menolak permintaan dan menolak satu-satu tugas yang diberi. Dalam serba kekalutan saya cuba juga sedaya mungkin untuk menyempurnakan tugas tersebut. Meskipun tidak memegang tugas bergaji tetapi tugas yang tidak bergaji ini lebih sibuk dan tidak tentu masa sifatnya. Ketika orang sudah mencari tempat tidur kita msih sibuk berbincang itu dan ini. Ketika orang membawa keluarga berjalan-jalan kita sibuk mengatur itu dan ini.
Saya pernah membaca rencana "Learn to say no" semata-mata untuk mencari teknik berkata "no" bila diminta melakukan sesuatu. Malangnya bila sampai ketikanya hati saya yang paling dalam selalu berkata "Kenapa menolak pahala di depan mata?". Bila kita sudah lama berkecimpung dalam arena dakwah ini, hati kita akan menjadi tenang, lapang dan gembira bila dapat melaksanakan satu tuntutan. Penat , letih dan keluar wang usah dikira lagi tetapi bila Allah menggantikan dengan cara yang tidak kita duga dan dalam bentuk yang tidak kita sangka maka ia menjadi satu inisiatif yang membuat kita ingin buat dan terus buat.
Cuma yang sering saya ingatkan pada diri sendiri berkali-kali ialah supaya sentiasa ikhlas dan tidak mengungkit apa yang telah kita kerjakan. Jika tidak amat dibimbangi segala amalan kita akan menjadi sia-sia dan berterbangan bagai debu-debu ditiup angin. Nauzubillah. Yang paling saya harapkan sudah pasti redha dan izin suami. Insyallah, redha suami adalah redha Allah. sudah pasti pahalanya akan dikongsi bersama pula.Ameen.
Esuk insyallah kita semua akan menyambut tahun baru Maal Hijrah, biasanya surau dan masjid akan membuat bacaan doa akhir tahun selepas asar dan doa awal tahun selepas maghrib. Kita memohon dihidupkan Allah terus dalam iman agar dapat terus beribadat kepada Allah.
Masjid Bertam juga tidak terkecuali, ada ceramah perdana malam ini oleh Ustaz Mutalib Maarof dan selama dua hari berturut-turut (19 & 20 hb Dis) ada pengajian kitab Faraid secara ekspres oleh Tuan Sheikh Hj Fisol Omar. Beliau yang didatangkan khas dari Kedah memang amat mahir dalam bidang ini. Kelas bermula 8pagi-12 t/hari. Berhenti rehat dan disambung semula selepas asar hingga 10 malam. Marilah melapangkan diri kita untuk menadah kitab dan berada di majlis yang dipayungi sayap-sayap malaikat.
Sempena Tahun Baru ini marilah kita sama-sama menghisab diri, melihat sejauh mana sudah kita berjalan menuju redha Ilahi dalam kehidupan kita. Bila datang tahun baru bererti makin singkat masa untuk kita berlama-lama di bumi ini. Kita akan pergi dan tempat kita akan digantikan dengan orang-orang baru. Jadi lihatlah kembali bekalan yang telah kita kutip selama tempoh kita berjalan di atasnya.Mencukupi atau tidak untuk hidup di akhirat yang tiadak penghujungnya, hanya kita sahaja yang mampu menjawab.
Jika diizin Allah, malam ini saya akan berpergian ke Selatan. Meskipun anak-anak pulang memenuhi rumah saya tetap juga bertekad menyempurnakan hajat dan cita-cita ingin menghadiri satu multaqa'di sana. Anak ada bertanya bolehkah saya tidak pergi , tetapi saya sudah berazam tetap akan pergi demi untuk membaiki amal diri. Sudah lama benar saya tidak menghadiri program sebegini. Lagipun cuma 2 hari sahaja.
Suami saya pula sudah penuh dengan agendanya sepanjang ketiadaan saya. Jemputan kenduri masuk rumah dan dua jemputan kahwin membuatkan saya tidak perlu memikirkan makan minum mereka yang akan ditinggalkan. Alhamdulillah. Anak-anak juga sudah mengatur perancangan masing-masing. Mereka pun sudah besar-besar dan sudah pandai mengatur hidup maka sekali sekala saya ingin diberi peluang untuk membaiki diri dan iman saya dengan menhadiri majlis yang akan meningkatkan iman dan melonjakakn aktivisme saya. Tiada yang saya harapkan melainkan kebaikan hidup di dunia dan diakhirat untuk diri sendiri dan semua yang dekat di hati saya.
No comments:
Post a Comment