Thursday, December 24, 2009

Perjalanan Yang Indah



Tanpa lama merancang kami segera bertolak ke Kuala Sepetang. Perjalanan hanya mengambil masa kurang dari 2 jam. Dari kejauhan saya sudah  nampak Kota Ngah Ibrahim di daerah Matang. Beliau yang saya kenal nama seawal usia 10 tahun melalui buku-buku Tawarikh atau Sejarah. Tidak terduga setelah berpuluh tahun mengenali baru hari ini saya dapat menjejak kaki ke rumah dan kotanya. Terimbau kembali  segala fakta yang saya baca sekian lama dan betapa sejarah satu masa dulu telah mencorakkan kehidupan masa kini.



Saya yang mencintai segala peninggalan lama memang sangat teruja meneroka rumah yang begitu gah ini. Kekayaan beliau yang melimpah ruah sehingga beliau di beri gelaran Menteri Larut. Meskipun sudah begitu lama usianya ,rumah ini masih nampak teguh dan mampu menjadi tempat generasi muda mengenal sejarah dan  bagaimana Inggeris mula mencampuri urusan pentadbiran negara kita. Banyak yang dapat dipelajari jika kita rajin mengimbau sejarah silam. Kesialpan hari semalam sepatutnya menjadi iktibar. Dalam al qur'an Alalh sering mengulang-ulangkan cerita kaum terdahulu sebagai pelajaran kepada generasi kini dan akan datang. Yang baik dijadikan tauladan.




.

Jika sudah ke Kuala Sepetang sudah pasti tidak sah jika tidak singgah makan mee udang. Berderat-deret kedai mewar-warkan mee udang masing-masing. Bagi saya yang sudah menjadi pelanggan tetap mee udang Pulau Sayak sudah pasti tetap akan memilih ke Pulau Sayak. Panorama dan hembusan bayu laut yang menampar muka ketika makan di Pulau Sayak sudah pasti tidak dapat menandingi suasana  kedai di Kuala Sepetang. Lain tempat lain pulak belalangnya.


Di hadapan gerai mee udang yang kami singgah terdapat pula Hutan Paya Bakau. Tidak ada pelawat lain ketika kami berkunjung kecuali 2 orang pelancong German. Suasana tenang dan damai membuat kami asyik melihat anak belacak berkejaran di atas selut dan helang yang begitu cantik terbang rendah melihatkan kehebatannya. Tanpa disedari masa berjalan begitu pantas sekali. Masa untuk pulang dan kembali ke dunia nyata.


Perjalanan yang biasa menjadi  sangat indah kerana kami dapat berbual dan bercerita tentang berbagai hal-hal dan kerenah anak-anak. Adakala kita ingin berkongsi rahsia bersama  pasangan kita, tetapi jika tidak kena cara dan ketikanya  kita bukan mencari jalan keluar tetapi menambahkan kusut keadaan. Jadi apa yang sering kami amalkan bila ada masalah, kami akan ke mana-mana berdua dan singgah di mana-mana tempat yang sesuai. Ketika itu dia dan saya  dalam keadaan yang santai dan tidak tertekan. Maka  insyaallah yang kusut akan sama-sama difikirkan bagi dileraikan.

No comments: