Sudah hampir dua minggu saya dan suami pulang dari menyertai lawatan sambil belajar ke Yayasan Al Jenderami, Jenderam Hulu, Selangor. Ingatan manis semasa di sana masih segar dalam ingatan. Bila bertemu kawan dan teman sudah pasti cerita tentang tenmpat ini yang jadi bahan bualan kami. Saya suka melihat suasana tenang ,bersih dan damai yang menyapa kami petang itu. Ramah mesra dan adab Islam yang dipamerkan membuatkan hati kita menjadi cepat mesra dan terasa berat hati mahu melangkah pergi.
Suara lembut dan lunak anak-anak remaja ini memperdengarkan qasidah berserta ketukan kompang meresap lembut jauh ke dasar hati. Tanpa terasa airmata bertakung di tubir mata mengenangkan perjuangan Rasulullah SAW ketika zaman awal Islam dahulu sedangkan kita sebagai umatnya sangat lemah untuk mengingati dan memuji Baginda setiap kali namanya disebut. Sesekali hati kita perlu diketuk agar sedar dan sentiasa mengingati Baginda. Tanpa Baginda sudah pasti kita tidak akan menikmati iman dan hidup sejahtera sebagai seorang mukmin hari ini
Peluang melihat cara anak yatim di sini diurus dan didisiplinkan sangat menyentuh hati. Adab dan peraturan yang diterapkan muga-muga dapat melahirkan anak-anak muda yang bakal mewarisi alam ini dengan cara hidup yang dituntut Islam. Miskin dan yatim bukan bererti hidup tidak berguna tetapi kesusahan ini insyaallah akan menjadikan jiwa lebih kental, tahan ujian dan kuat jati diri. Besarlah pahala mereka yang membesarkan anak yatim, setiiap kali kita menyapu kepala mereka insyaallah, Allah akan mengampunkan dosa kita sebanyak helaian rambut mereka. Jikalah kita tahu betapa besarnya pahala yang Alalh sediakan sudah pasti masing-masing dari kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membela anak yatim.
Komplek ini turut juga memberi perlindungan kepada Warga Emas yang lebih seuka dipanggil Warga Akhirat. Mereka bukan nenek-nenek yang tiada keluarga tetapi mereka lebih suka tinggal di sini. Kehidupan tanpa perlu bersusahpayah memikir kerenah anakcucu membuatkan hati mereka lapang dan tenang. Mereka tinggal sendiri, berdua atau berempat dalam rumah yang diwakafkan denagn kadar bayaran yang sangat minima. Rutin mereka ialah mengisi sisa usia dengan membanyakkan amal , zikir,bacaan quran dan mendengar pengajian kitab-kitab. Nenek yang paling tua di situ berusia 81 tahun.Beliau masih sihat dan setiap kali waktu solat anak-anak yatim akan bergilir -gilir menolak kerusi rodanya untuk ke masjid. Bila melihat mereka saya terbayangkan arwah emak. Jika dia masih hidup mungkin tempat ini yang akan jadi pilihannya untuk menghabiskan sisa usia. Di sini mereka tidak dipinggirkan tetapi sangat dihargai dan diberi perhatian. Apalah lagi yang diharapkan selain sisa usia terisi dengan bekalan yang mencukupi untuk kembali bertemu Allah.
No comments:
Post a Comment