Wednesday, December 16, 2009

Pujuk-pujuklah Hati





Manusia dijadikan Allah sentiasa dalam keadaan keluh-kesah. Jika difikirkan semua yang ada disekeliling kita semuanya tak kena dan tak menepati selera kita.Itu tak kena, ini tak betul. Untuk mengimbangkan sifat buruk ini Islam telah ada set of rulesnya. Yang ditunjuk melalui Nabi SAW. Akhlaqnya ialah al qur'an. Apa sifat yang baik dalam kitab itu semuanya dipamerkan oleh Baginda sebagai contoh kepada kita yang mengaku umatnya.

Sifat sabar dan bertolak ansur sangat mudah disebut, tetapi sukar dilaksanakan. Bila kita bersabar dengan kerenah orang bukan bererti kita kalah atau lemah atau mudah diperlakukan sesuka hati. Adakala kita bersabar kerana tidak suka bising-bising atau mengusutkan lagi keadaan. Maka kita berlapang dada dan segera menerima kerenah orang itu sebagai ujian dari Allah untuk menaikkan darjat kita.





Untuk satu hubungan inter personal yang harmoni, mesti datang dari dua belah pihak. Yang sabar dan yang kurang sabar. Jika kedua-duanya sama-sama keras sudah pasti mesti saling berantakan . Jika kita saling bersabar, saling bertolak ansur dan saling maaf dan memafkan alangkah indahnya Islam itu dilihat oleh mata-mata manusia. Jika kita saling bercakaran , saling tuduh menuduh tanpa asas dan saling salah-menyalah maka sudah pasti tempias itu akan kembali kepada Islam itu sendiri. Hodohnya Islam kerana umatnya tidak mempamerkan cara yang diajarkan oleh Islam.

Sempena tahun baru Maal Hijrah, marilah kita melihat kembali kepada perpatah lama yang diwarisi zaman berzaman dari nenek moyang kita dulu. Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum kembali, air dicincang takkan putus, hati  gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah...dsbnya.

Jadikanlah diri kita orang yang banyak mendengar dari orang yang banyak berkata-kata. Jika banyak berkata banyak pula salahnya dan banyak pula hati-hati yang terguris dan terluka. Jika ingin memarahi seseorang atau satu pihak renung-renungkan semula ke dalam diri kita, adakah kita sudah cukup sempurna hingga kita hanya nampak salah orang. Dalam adab berumahtangga Allah juga berfirman jika kamu tidak menyukai isteri kamu kerana kekurangannya maka bersabarlah kerana banyak kebaikannya yang tidak kamu ketahui. (Maaf tak ingat ayat mana)





Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Maaf memang mudah diucapkan tetapi hati yang luka tetap akan ada parutnya .Meskipun masa pasti akan memulihkan semula luka itu. Jadi dalam mencari kehidupan yang harmoni maka banyaklah berlapang dada, mendengar dahulu sebelum membuat kesimpulan dan sesungguhnya orang mukmin itu ibarat  cermin dianatar satu sama lain. Jika dengan orang lain kita boleh berbaik-baik, bertolak ansur dan bermanis muka kenapa tidak kita lakukan yang sama dengan mereka yang hampir dan paling kita cari  bahunya untuk kita sandarkan kepala ketika ditimpa musibah dan dilanda duka..

Saya teringat pada satu hadis yang sangat saya amalkan dalam kehidupan. Jika kamu dituduh melakukan satu keburukan yang tidak kamu lakukan, sedangkan kamu mampu menafikannya tetapi kamu bersabar dengan ujian itu maka Allah akan dirikan untuk kamu sebuah rumah di pinggir syurga. Hai...besar ganjaran Alllah itu. untuk orang yang banyak bersabar. Mentari tidak selalunya mendung, hilang gelap timbullah cahaya. Begitulah indahnya perjalanan hidup ini. Penuh warna-warna yang menjadikan ia satu perjalanan yang indah sehingga kita kembali bertemu Tuhan Yang Menciptakan kita.



No comments: