Thursday, December 10, 2009

Atap Genting Atap Rembia

Entah kenapa memang sudah tersurat yang kehidupan saya akan sentiasa dikelilingi kanak-kanak. Meskipun saya mempunyai adik beradik yang ramai tetapi kerana dibesarkan oleh tok dan wan di Kedah maka masa saya kecil saya selalu kesepian. Bila berkahwin saya memang  bercita-cita ingin mempunyai anak yang ramai sebagai mengganti masa kecil saya yang penuh kesepian itu.  Tanpa disengajakan saya terlibat dengan dunia pra sekolah walaupun saya tidak pernah menulis dalam kad 001 saya ingin menjadi guru tadika. Manusia merancang dan Allah menentukan. Saya memang lari jauh dari bidang yang saya khususi tetapi bidang yang saya ceburi sekarang ini sangat releven sampai bila-bila. Jika dulu saya mengikuti berbagai kursus untuk melengkapkan ilmu pendidikan awal kanak-kanak dan kemudian dapat saya adaptasikan untuk mendidik anak-anak saya sendiri. Kini tumpuan saya sudah pasti beralih kepada Zaffran, cucu sulung kami.

Oh..dunia tak kan ceria jika dipenuhi orang dewasa yang sentiasa serius dan fokus sahaja kerjanya. Dunia anak kecil memang penuh dengan keceriaan yang sudah pasti mampu merubah dan melarikan kita sebentar dari segala masalah yang membelenggu fikiran.

Bila memikirkan pertambahan ahli keluarga saya dan suami selalu melihat keliling. Merenung masih adakah ruang dan wang untuk membesarkan rumah kami yang comel ini. Tahun demi tahun barangkali ahli keluarga baru akan  bertambah tetapi ruang masih begitu juga. Kalau kita mendaftar premis tadika ke JPN mereka akan melihat ruang lantai samada cukup atau tidak untuk menampong bilangan kanak-kanak.

Sesekali timbul juga perbincangan kenapa rumah yang besar -besar selalu sunyi sepi sedangkan ruang yang besar itu sangat sesuai untuk menghuni ahli keluarga yang ramai. Sebaliknya rumah yang kecil dan comel lote riuh rendah, gegak gempita kerana ramainya penghuni dan isi rumah.


Hm...apa-pa pun saya tetap bersyukur kerana masih ada tempat berlindung dan menikmati limpahan kebahagian membesarkan anak-anak dalam rumah yang termampu dibeli suami. Jika disuruh memilih rumah lain insyaallah  saya tetap ingin menghabiskan sisa usia saya di rumah ini. Laungan azan dari menara masjid Bertam dan suara ustaz memberi kuliah saban waktu jelas membantu saya mengingatkan diri bahawa ada ruamh lain yang lebih perlu saya kejar di alam sana. Sudah pasti saya sangat inginkan sebuah rumah di pinggir syurga bersama semua yang saya sayang dan sentiasa dekat di hati.Jadi rumah comel yang ada di dunia ini hanyalah  pinjaman dan sementara sahaja.

2 comments:

hentian said...

Tapi aku kurang gemar dengan anak kecil. Lantaran itu bila ibu_suri minta ambil anak angkat, aku tak mahu...

We Haus Enterprises said...

Rasa sayang itu anugerah Ilahi, siapa yang tidak dicampak Allah dalam hatinya rasa sayang pada anak kecil tentu tidak dapat merasai betapa bahagianya rasa bila melihat keletah dan kerenah mereka.Tambah pula jika didikan kita menjadikan mereka insan yang beradab,berakhlak dan beriman.