Wednesday, December 23, 2009

Kenang-kenangan


Sudah hampir dua tahun anak ini menceriakan hari-hari kami sekeluarga. Kehadiran yang dinanti-nantikan dan sentiasa  dibelai dengan doa dan ayat -ayat quran sepanjang ia di alam rahim. Kini ia sedang belajar mengenal hidup, belajar menerima semua yang baik dan buruk sebelum dapat menapisnya dengan akal yang disinari nur Islami. Ia ibarat kain putih yang menerima apa sahaja yang dicorakkan. Maka ibu, abah ,pengasuh dan semua yang hampir dengannya bertanggungjawab membentuk dia menjadi insan yang kamil. Anak adalah anugerah dan juga amanah Allah kepada kita. Ia hanya pinjaman dan kita akan dipersoalkan dengan tanggungjawab kita terhadapnya.






Kewujudan Zaffran bermula dengan ijab dan kabul ibu serta abahnya 3 tahun lalu. Sebagai orang tua kami ingin semua anak-anak mengecapai kebahagian berumahtangga. Bila pendidikan sudah disempurnakan maka sudah pasti kita sentiasa berdoa agar anak-anak perempuan kita bertemu jodoh dengan lelaki yang  baik agama, baik akhlaqnya dan mampu menunaikan hak terhadap isterinya. Bila sudah ada  semua krateria itu maka sudah pasti ibu ayah akan mewar-warkan majlis perkahwinan dan merestuinya.


Bukan mudah melepaskan seorang anak gadis untuk dinikahkan. Walau betapa dalam dan kuatnya cinta itu ia  akan luntur jika disandarkan pada kecantikan rupa, kekayaan dan pangkat darjat. Jika dijadikan agama sebagai sandaran insyaallah rumahtangga itu tetap akan mampu menempuh badai dan gelora perkahwinan. Rumahtangga mesti dinaungi mawaddah (kasihsayang) dan rahmah (belas kasihan). Tidak semua orang mampu bertahan dengan  berbagai dugaan yang datang. Namun jika kita mengamalkan sifat sabar, berlapang dada, berpuashati dan bertolakansur segala yang susah akan menjadi mudah. Marilah mendalami ilmu berumahtangga sebelum melangkah jauh ke alam itu. Bersedialah dengan bekalan yang banyak agar tidak putus nafas di tengah jalan. Ia adalah perjalanan mencari reda Ilahi. Ia menghubungkan silaturrahim. Ia menjadi penyambung umat manusia agar terus dan terus mengabdikan diri kepada Allah.


Selamat melangkah ke tahun 4 , madrasah rumahtangga, 
Zulffi & Ruqayyah.Ummi & abu sentiasa mendoakan dari kejauhan agar badai dan taufan menjauhi bahteramu.Ameen

1 comment:

Lady Qay said...

tq ummi dan abu..doa ummi dan abu yg mbw berkat dlm rmhtgga kami...