Saturday, January 30, 2010

Dicelah Derai Airmata


Kelahiran dan kematian saling silih berganti. Berselang waktu dan hari pasti ada jasad yang menangis kerana dilahirkan di dunia dan ada pula jasad yang dibawa pergi malaikat  kepada Penciptanya. Ahad lepas kami dikejutkan dengan kematian saudara ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Wajah -wajah anak-anak istimewa yang ditinggalkan sudah pasti mengundang rasa sayu dan sedih kepada para penziarah. Sudah pasti hari-hari mendatang akan penuh dengan cabaran yang akan tetap dipikul si balu kerana ini adalah amanah Allah dan amanah dari suami yang pergi. Berat bahu memandang sudah pasti berat lagi bahu yang akan memikul.Semuga Jamaliah sabar dengan ujian ini.

Dua hari lepas kami dikejutkan pula dengan kematian seorang sahabat lama , Dato' Amir Nordin.  Wajah cerianya  ketika menyambut menantu tahun lepas masih terbayang meskipun dia sedang menderita sakit. Meskipun tiada pertalian darah tetapi kerana sama-sama bergiat cergas dalam JIM kami menjadi rapat. Ikatan ukhuwwah islamiyyah sebenarnya meresap jauh ke dasar hati. Tugas yang membawanya dan keluarga bertugas di Alor Setar beberapa tahun lalu telah menemukan kami. Saya dan isterinya, Datin Masinah , yang suka dipanggil Kak Mas  begitu rapat dan bila berpeluang ke KL sudah pasti rumah lamanya di Ampang menjadi tempat singgah saya. Kini yang pasti tinggal adalah kenangan dan kenangan. Dari jauh kami hanya mampu mengirim doa semuga Allah memberi rahmat dan kekuatan untuk kak Mas dan anak-anak yang ditinggalkan. Untuk roh , Akh Amir  Nordin  sudah pasti dikirim doa agar Allah memudahkan semua urusannya di alam sana.Semuaga segala kebaikan  semasa hidup dapat membantunya semasa bertemu Allah.

Malam tadi saya menerima panggilan dari anak. Ibu saudara suaminya, Cik Yah  yang baru sahaja dimasukkan ke hospital Bukit Mertajam kerana demam telah kembali kerahmatullah. Sudah pasti masih terbayang raut wajah, dan senyum tawa serta segala gurau sendanya semasa kenduri di rumah adiknya Julai lalu. Ketika ini anak saya dan keluarganya sudah bertolak dari Kota Bharu dan insyaallah saya juga akan menyusul ke Lenggung selepas suami selesai memberi ceramahnya di Uitm. Kematian yang mengejut sudah pasti meninggalkan kejutan juga buat  sanak -saudara. Besan saya yang telah bertolak malam tadi dengan bas sudah pasti akan terkejut besar bila hajatnya ingin menziarahi kakak yang sakit terpaksa berdepan dengan ap jasad kakaknya yang sudah sejuk dan kaku.

Sudah pasti kematian adalah tazkirah yang sangat besar  buat kita. Tetapi  bila hati kita sudah tidak tersentuh dan menganggap itu adalah perkara biasa kita wajarlah memeriksa hati kita dan darjah iman kita. Kadang-kadang  kerana banyak makan , kerana banyak dosa dan kerana banyak ketawa juga boleh membuat hati kita mati. Marilah meluang sedikit waktu untuk merenung ke dalam diri .Muga-muga subuh tadi bukankan subuh yang terakhir kita. Mereka sudah pergi dan kita hanya menghitung hari sahaja lagi.

Peringatan Buat Diri Yang Sering Lupa

Thursday, January 28, 2010

Ragam Hidup




Begitu cepat masa berlalu. Minggu ini kita sudah sampai ke penghujung bulan Januari. Murid-murid saya di tadika sudah dapat menyesuaikan diri walaupun masih ada seorang dua murid yang masih menangis ditinggal ibu. Sebagai orang lama saya sering bertemu berbagai ragam murid dan ibubapa. Meskipun tahun berbeza tetapi adakala sikap manusia ini tetap sama , tidak berubah-ubah.

Sebaik mungkin kami cuba menyelesaikan dengan baik. Cuma yang membezakan murid dahulu dan sekarang ialah disegi pendedahan awal. Jika murid dahulu akan takut dan gerun bila guru menaikkan suara tetapi murid hari ini siap bertanya" Kenapa cikgu tak mau rotan kami?" Sudah pasti saya dan guru-guru lain akan mencari jawapan yang paling lojik dan boleh diterima akal mereka yang masih muda ini. Murid-murid sekarang bila diajak bermain dan bersenam di luar sering berkata" Cikgu saya tak mau main, saya tak suka peluh-peluh". Budak-budak kalau dipujuk lama-lama dia dengar juga cakap kita, tetapi kalau ibu sendiri memberitahu " Cikgu, esuk tak payah suruh anak saya main kat luar, biar dia main kat dalam sahaja" Macamana tu, sedangkan kita ni cubalah ingin mengikut segala draf standart kurikulum pra sekolah yang KPM cadangkan. Manalah nak ada keseimbangan antara fizikal, kognatif dan emosi mereka.








Kata Saidina Omat ra. didiklah anak kamu mengikut zaman mereka. Pada pengamatan saya hari ini kita gagal mendidik generasi muda kita menjadi  generasi yang kuat. Jatuh sedikit ibubapa sudah bersungut, anak mengadu kawan buat mereka cepat melatah , menyalahkan guru tak menjaga anak-anak mereka betul-betul sedangkan kalau mereka menjaga sendiri anak mereka di rumah adakah mereka dapat menjamin anak mereka tidak luka, tidak jatuh atau terseliuh. Inikan proses pembesaran ,sudah pasti ada kesan dan parut di sana sini. Insyaallah, sebagai orang yang diamanahkan menjaga anak-anak dengan sedikit imbuhan atau upah sudah pasti keselamatan anak-anak adalah menjadi keutamaan. Sebagai manusia kita juga tidak mampu lepas dari sifat lalai, leka dan lupa jadi sepatutnya saling ada give and take barulah ada keharmonian.Jika ibubapa tidak menaruh sepenuh kepercayaan kepada cikgu yang mendidik anak mereka memang susahlah kami menjalankan tugas.

Walaupun sering disebut customers always right tetapi kalau ada customers yang memandang rendah dan lekeh kepada guru-guru tadika saya sangat menyesali sikap begini. Guru tadika anak-anak mereka bukanlah bibik yang boleh diarah itu dan ini. Kalau bercakap pun main keluar hang -aku  sahaja naik merah juga muka saya menahan marah. Begitulah kata orang tua-tua ular menyusur akar tak kan hilang bisanya, manusia tidak dipandang pada pangkat darjatnya tetapi pada kehalusan budinya. Pengalaman bergaul dengan ramai orang yang berpangkat tetapi halus budinya membuatkan saya merasa kasihan kepada mereka yang cuba menunjukkan kuasa dan pangkatnya  sedangkan di belakang mereka orang hanya menjuihkan mulut dan mencerca mereka.

Begitulah hidup di dunia. Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Sebaik-baik cara mengelak persengketaan ialah berbincang mencari win-win situation. Agar tak kalah menjadi abu atau tak menang menjadi arang.

Wednesday, January 27, 2010

Tahniah Asma

Oh..tumpang bangga bila sekolah lama turut tersenarai sebagai sekolah terbilang. Saya mula menjejakkan kaki ke Sekolah Men Sultanah Asma pada tahun 1972 bila ditawarkan tempat dalam  Rancangan Khas dengan diberi Biasiswa Kecil Persekutuan $25.00 sebulan. Ketika itu. rata-rata kawan sekelas datangnya dari berbagai daerah di negeri Kedah. Kekeciwaan saya kerana tidak dapat tawaran ke Sekolah Tun Fatimah terubat bila berpeluang bersekolah di situ.

Saya dan kawan-kawan yang ditempatkan dalam kelas peralihan atau Remove Class belajar bertutur dan grammar English dari guru yang sungguh garang. Miss Lee. Bila ada sahaja kesilapan yang dilakukan dia akan mendenda kami menulis denda  sebanyak  100 baris atau paling teruk 500 baris. Kertasnya akan dihantar ke kantin sekolah untuk dijadikan kertas pembungkus makanan. Yang paling lucu bila kami mendapat kertas denda kami semula ketika membeli kuih di kantin.

Kini berkat garang dan bersungguh-sungguhnya  dia saya masih mengingati grammar yang diajarnya walaupun sudah berpuluh tahun berlalu. Saya juga masih cinta membaca dan menulis dalam bahasa itu.  Hari ini bila melihat pancaragam sekolah beraksi dalam pertandingan-pertandingan saya terkenang betapa saya menangis berhari-hari kerana dilarang datuk menyertai  pancaragam yang baru ditubuhkan pada tahun itu.

Itu kisah berpuluh tahun lalau. Kawan-kawan sekolah saya kini sudah dipuncak kerjaya masing-masing   Asma terus melonjakkan namanya tahun demi tahun. sebagai bekas murid sudah pasti saya sangat menghargai peluang dididik di situ. Belajar rules dan disiplin. Belajar menjadi manusia yang berguna kepada sesama insan dan yang penting di situlah juga saya belajar bertudung sehingga dipanggil naik ke pentas kerana melanggar peraturan sekolah. Kenangan tetap kenangan dan kini sekolah yang saya tinggalkan itu sudah payah dicari pelajar Islam yang tidak bertudung.Masa sudah jauh berubah.Semuga Asma terus menjulang tinggi.

Tahniah Asma!

Tuesday, January 26, 2010

Padi Sudah Menguning



Ketika suami memandu saya leka melihat sawah di kiri kanan Lebuhraya PLUS. padi di bendang abah dan emak juga sudah mula menguning. Sawah yang terletak berhampiran dengan  airport Alor Setar itu masih memberikan hasil selagi masih ada tenaga tua yang sanggup mengerjakannya. Tahun lepas ketika padi mula menguning juga abah baru ditimpa stroke. Sudah setahun rupanya kehidupan abah dan emak berubah. Sekarang kehidupan emak berlegar di sekitar rumah. Sekali-sekala kami mempelawa abah beralih angin ke rumah tetapi abah tetap dengan gelengannya. Mujurlah bila suami saya memujuk mahu juga abah mengikut. Kesian emak, tetapi apa kan daya tempat isteri sudah pasti di sisi suami. Berbakti selagi daya . Bila  melihat pohon padi meliuk-liuk saya selalu teringatkan pantun ini:

Tuai padi antara nampak
esok jangan layu-layuan
intai kami antara nampak
esuk jangan rindu-rinduan.

Pantun ini menjadikan hati saya sebak bila melihat wajah abah dan emak. Adakah  saya sudah cukup 'mengintai' mereka sementara nampak, agar tidak rindu-rinduan bila mereka sudah tidak nampak di mata kelak?

Wednesday, January 20, 2010

Resepi Untuk Hidup


Minggu ini masuk minggu kedua lang menjadi tutor untuk kelas Koridor Utara. Nampak gayanya sorang lagi mungkin akan jadi pendidik . Walaupun peluang terbuka luas jika dia berminat bekerja di sektor permakanan dan perhotelan tapi nampak gayanya menjadi pengajar itu lebih dekat di hatinya. Mujurlah ada  daddy yang jadi sifu mengajar dia mencantikkan dan menghidupkan Power Point presentationnya.

Mungkin agak penat baginya berulang alik saban minggu ke A.Setar, tetapi hari-hari yang lain dia menjadi pekerja part time di kedai buku Uitm. Ada orang bertanya" Awak tak malu ke kerja kat sini?" "Hm..kenapa nak malu pulak?" jawabnya hairan."Kan awak dah ada degree!" Buat apalah nak malu, buat kerja halal , tak kisahlah berapa orang nak bayar yang penting dapat cari pengalaman dan masa terisi . Kalau berpeluang dan enviroment yang selamat saya suka anak-anak bekerja. Biar mereka tahu betapa susahnya nak dapat dua tiga ringgit. Kena kerja, kena ikut disiplin, kena tegur kalau buat salah. Pelajaran itu bukan dapat dari buku teks tetapi dari pengalaman berinteraksi dengan orang lain.

Sebagai seorang pengendali tadika saya selalu bertemu dengan ramai anak-anak muda yang datang mencari kerja. Hajat hati memang nak mengambil mereka bekerja malangnya bila ditemuduga sangatlah menyedihkan. Pengetahuan kurang apatah lagi pengalaman.   Bila ditanya hobi calon  di masa lapang.  Rata-rata akan menjawab melayari internet dan chatting.  Saya tanya lagi lagi "Selain dari itu?" Boleh pula mereka jawab berbual dengan hand phone, tidur dan melepak. Hai nak kata naif ke apa tak taulah pulak. At least dah minat nak kerja kat tadika patut bagi lah tau suka baca buku cerita ka, melukis ka, adalah juga maknanya.

Bila ditanya majalah apa yang kamu suka baca? Sudah pasti akan keluarlah nama Media Hiburan, Mangga, komik Sin Chan. aduh..nak gelak pun ada tapi biasalah saya akan buat muka selamba dan bila diberi kertas dan disuruh melukis satu  gambar binatang , boleh mereka cadangkan , "tak payah lukislah puan boleh tak photostat saja gambar bagi kat budak-budak , saya tak pandai melukis"

Begitulah senario zaman kini, kata seorang kawan saya yang sedang mengikuti Diploma Awal Kanak-kanak di OUM, bila masa discussion bukan nak bawa bahan tapi masing-masing dok siap tunggu dengan kertas dan pen nak catit isi sahaja. Mungkin  di benak masing-masing belajar untuk dapat diploma atau ijazah sahaja. Dengan adanya sekeping kertas itu sudah cukup untuk menaikkan taraf sosial mereka.

Mencari ilmu untuk menambah baik tugas atau mengejar sekeping kertas yang mana patut diutamakan.? Dunia yang sentiasa berubah memaksa kita sentiasa meningkatkan ilmu dan pengetahuan.Paling mudah sudah pasti dengan membaca tetapi jika keinginan untuk membaca yang agak berat pun sudah tidak mampu, saya tak tahulah apa lagi ubat yang paling mujarab yang ada di pasaran untuk mereka.Learning is a lifelong process.Pembelajaran Sepanjang Hayat barulah kita tak diperkononkan orang.

Monday, January 18, 2010

Masa Itu Kehidupan


Semalam entah kenapa badan terasa sangat letih. Bermula dengan bergegas solat berjamaah di masjid, dengar kuliah dan terus bersarapan bersama ahli qaryah. Pulang mengemas surat kabar lama, melipat baju yang sudah  bertimbun, menggosok baju sebelum bergerak ke dapur. Menyiapkan nasi beriani untuk menjamu anak-anak yang akan pulang ke asrama dan suami yang selalu mengusik dapat makan special menumpang syafaat orang asrama.  Siap makan sempat pula mengerah  orang dua beradik menyidai baju yang sempat pula dibasuh.

Tepat dua setengah petang segera memandu ke Sg Petani menghantar bangcu menaiki bas ke sekolahnya. Balik dan mengambil Harith pula untuk di hantar  ke Irsyad. Sempat juga melihat acara badminton yang berlangsung di Korea. Ammar awal-awal lagi sibuk menyuruh kami menunggu di depan TV kalau-kalau mukanya keluar TV sambil tolong sorakkan LCY berentap di sana.

Sebaik sampai dari Irsyad telifon berdering. Harith tertinggal kunci locker. Aduh! rasa macam lembut lutut jadinya. Kebetulan kak lang sudi menghantar ke rumah kawan sekolah Harith settle satu masaalah. Pukul 6 ptg dia menalipon lagi tertinggal buku pulak. Saya yang bagai sudah putus nafas terduduk dengan hati yang sebal. Nak marah pun tak guna kerana tuannya tak ada depan mata. Sabar aja lah.

Maghrib sempat pula tidur sekejap sementara orang habis solat jamaah di masjid. Saya segera ke masjid kerana penceramahnya datang dari jauh YB Parlimen Kuala Selangor. Balik apa lagi memang tak tunggu lama terus naik ke bilik dan mencari tempat tidur.

Pukul 10 malam terkejut bangun bila bang cik pula menalipon. Bertanyakan  koleksi buku tulisan Pak Hamka. Malangnya di rumah saya cuma ada buku di  Bawah Lindungan Kaabah. Itu pun diimpot dari rumah mertua. Yang lain sudah pasti tersimpan kemas di Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM. Buku-buku milik arwah bapak kami hadiahkan kepada UKM beberapa tahun lalu. Sudah pasti buku-buku pak Hamka adalah antara koleksi terbaik bapa. Mungkin kali ini saya tidak mampu membantunya mencari bahan untuk tugasan IBnya.

Sudah masuk tahun 2010 janji saya untuk menulis secara serius masih tinggal janji. Haiwan dipegang pada talinya manusia dipegang pada janjinya. Saya memang sangat berazam tetapi resolusi diri itu masih belum dapat direalisasikan. Saya sangat inginkan hasil tulisan dapat terus dibaca walaupun  jasad saya sudah lama dimamah bumi. Tulisan yang baik akan menyentuh hati dan yang paling baik dapat merubah persepsi hidup manusia.  Saya ingin dan terus ingin mencuba mencari masa kerana masa itu kita yang menentukan pembahagiannya. Marilah berdoa untuk saya." Siapakah yang lebih baik perkataanya? Mereka yang menyeru manusia ke jalan Allah"  Pesanan Abu Iman masih terngiang-ngiang di telinga bila saya cuba melelapkan mata sekali lagi. Malam tadi.

Muhasabah Diri


Ketika kecil saya selalu hairan bagaimana datuk saya boleh bangun seawal 4.30 pagi . Bersolat dan membaca qur'an sambil menanti hampir subuh untuk bertarahim di masjid. Dia sering juga menyuruh saya bangun awal untuk mengulangkaji pelajaran ketika bersekolah menengah. Liatnya nak bangun, nak menolak selimut dan  menadah  air paip yang sejuk bagaikan ais itu Tuhan sahaja yang tahu. Kini bila anak-anak pulang dari asrama begitulah juga situasi mereka. Jika tidak dikejutkan sebelum saya ke masjid mungkin juga mereka akan solat subuh di pinggir waktu atau lagi malang terbabas terus.

Bila sudah masuk usia senja ini baru saya memahami bagaimana datuk boleh bangun awal pagi. Bila sudah beralih usia sedikit demi sedikit Allah cabut nikmat dari hidup kita. Nikmat tidur sudah tidak senyenyak zaman muda dulu. Hari ini orang bercakap tentang tidur yang berkualiti pula. Sampaikan sudah dicipta ubat bagi membantu mereka yang tidak dapat tidur dengan nyenyak.

Jika tidur pun minda masih bekerja. Memikir hal di siang hari dan segala macam tugasan yang tidak pernah selesai. Kalau pun mata terpejam sudah pasti seawal 2 -4 pagi pasti sudah terjaga. Bagi mereka yang memgerti ketika inilah masa yang sangat  dituntut untuk berwudu dan melakukan solat tahajjud.Bermunajat ,memohon dan menangisi segala kesilapan yang telah lalu. Airmata yang mengalir kerana memohon ampun dari Allah tidak akan disentuh api neraka.

Ketika ini juga kita akan berperang dengan nafsu dan syaitan. Bangun atau tidak? Bangun atau tidak..dan dalam tarik menarik itu kebanyakannya mata akan kembali terlelap dan sedar-sedar azan subuh sudah berkumandang di puncak menara. Kita pasti bingkas bangun sambil memarahi diri kerana terleka dengan pujukan tadi. Jadi apa yang perlu dilakukan sudah pasti bersegera membersih diri, berwudhu dan segera tunaikan solat  subuh. Saya mendengar ceramah seorang ustaz "Jika kita sentiasa menunaikan ibadat sunat dan wajib semasa kita sihat dan mampu Allah tetap akan mencatat kita tetap mengerjakan ibadat tersebut ketika kita sakit dan tidak berdaya nanti". Marilah bersegera bermujahadah ketika tenaga masih ampuh, kaki masih kuat berdiri dan mata masih terang untuk menatap ayat-ayat Allah. Semua ini hanyalah pinjaman yang tidak mustahil akan diambil kembali Yang Empunya tanpa sebarang amaran atau petanda. Janganlah kita menjadi orang yang  disebut Allah dalam Suroh Al Baqarah:  216  ini.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik buatmu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk buatmu.Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui"

Saturday, January 16, 2010

Sehari Lagi




Hari ini hari ulang tahun ngah. Kad sudah dibeli sejak saya mencari buku-buku sekolah adik-adiknya akhir tahun lalu. Mungkin kerana kesibukan yang tidak pernah putus membuatkan kad itu pun hilang dalam simpanan. Kalau ngah tahu mungkin kecil hati kerana kami bagai melupakannya nun jauh di selatan negara. Namun di awal pagi saya dan ahli keluarga yang lain sudah mengirim SMS yang isinya mungkin  sama sahaja setiap tahun.
"Bertambah usia mestilah bertambah amal. Jika masih kurang bekalan bermulalah dari saat ini"

Sebagai ibubapa tanggungjawab kita untuk mengingatkan anak-anak tentang hak mereka kepada Allah tidak akan pernah selesai. Manusia dijadikan Allah sentiasa lalai dan lupa.Malah Allah mendidik manusia dengan berulangkali menyebut satu-satu perkara di dalam al Qur'an. Namun manusia tidak pernah ingat betapa banyaknya nikmat yang mereka kecapi tanpa perlu membayar apa-apa. Allah tidak akan berkurang sedikit pun kekuasaannya jika manusia tidak tunduk dan patuh kepadaNya. Dan tidak juga bertambah kekuasaannya jika kita tunduk menyembahNya. Yang rugi sudah pasti kita dan diri kita. Jika diberi sedikit waktu sudah pasti mereka yang sudah mati ingin kembali walaupun sebentar untuk mengganti masa yang mereka sia-siakan ketika hidup di dunia dulu.




Arus masa yang bergerak pantas menjadikan kita sering tersasar. Kita leka dengan kerjaya, dengan keluarga dengan hiburan dengan harta dsbnya. Sudah pasti semua ini tidak akan memberi makna apa-apa bila kita kembali bertemu Allah kelak jika ketika hidup semua tadi tidak disalurkan kepada mencari redha Allah. Kenapa mesti tunggu mati baru diwasiatkan harta kita diwakafkan ke jalan Allah? Kenapa mesti menunggu mati baru diharap anak-anak mengirim doa untuk kita sedangkan semasa di duni kita tidak mengajak mereka bersama menimba ilmu akhirat dan melakukan amal salih.

Tugas ibubapa tidak semudah bicara. Adakala kita perlu menangis di dinihari mengadu kepada Allah Azzawajalla tentang prilaku anak-anak. Ya! Anak-anak adalah ujian Allah. Baik dan buruk mereka terletak di tangan kita, kata orang bagaimana kuih begitulah acuannya. Tapi betulkah peribahasa itu? Adakala anak-anak adalah bayangan ibubapa dan adakalanya Alalh menguji kita dengan anak-anak. Tingkahlaku anak-anak tersasar jauh dari 'acuan'nya. Dalam situasi begini saya selalu berkata kepada kawan-rakan yang bertanya" Saya percaya Allah menguji kita dengan beban yang mampu kita tanggung. Kita baca saban waktu doa-doa ma'thurat tetapi bila diuji kenapa kita sering mempertikaikan ujian Allah itu"

Doa juga senjata mukmin. Berdoa dan bersolat hajat meminta dan terus meminta agar Allah  mendengar dan menerima permohonan kita. Bila berhenti meminta bererti kita sudah berputus asa dengan Allah. Berputus asa bukanlah sifat orang beriman. Dia yang menjadikan kita sudah pasti Dia mengetahui apa yang tidak kita ketahui.

"Selamat Ulang Tahun, ngah. Muga sisa usia yang tinggal tidak dipersiakan. Bertambah usia sudah pasti bertambah tanggungjawab dan bertambah matang dalam berfikir dan bertindak"

Thursday, January 14, 2010

Tempat Jatuh Lagi Di Kenang


Wah ! hari ini saya memandu sejauh 300km. Seawal 7.20 pagi sudah memandu keluar rumah . Suami masih bersiap-siap kerana kelasnya seawal 8 pagi. Saya mengambil susur kanan ke Utara dan dia mengambil susur kiri ke Permatang Pauh. Saya suka sebenarnya keluar awal pagi kerana cuaca yang dingin dan langit sangat indah bila cahaya matahari terbias keluar dari ufuk timur. Cuma yang saya kurang gemar kerana terpaksa bersaing dengan lori -lori kontena yang juga menghala ke sempadan negara. Jika mereka bertolak malam dari Singapura mahupun Kuala Lumpur sudah pasti memang waktu ini mereka sampai di daerah saya. Begitu juga bas ekspress yang bertolak dari Singapura mahupun Johor Bharu.

Minggu ini juga dua kali saya menjenguk anak di BKH. Kalau Sabtu lepas ziarah rutin maka hari ini kena mengambil rekod profil bang cu. Kalau sudah di tingkatan 5 sudah pasti warga pendidik inginkan anak didik mereka meraih markah dan keputusan yang cemerlang. Suami yang tidak dapat meninggalkan kelasnya mengamanahkan saya bertemu dan berbincang dengan  guru-guru mata pelajaran. Sudah pasti saya yang sudah peka dengan subjek mereka memberi pendapat itu dan ini sampaikan mereka ingat saya pun seorang guru juga. Haa...ha....saya menjawab "Memang pun, guru anak-anak kat rumah"




Kalau ke BKH sudah pasti bila balik mesti singgah makan moi sup kat tepi Sungai Jitra. Sejarah moi sup ini bermula pada tahun 1988.. Bila anak-anak demam atau dicabut gigi kerana bersalin gigi susu sudah pasti suami saya akan membelanjakan mereka dengan moi sup yang sungguh enak ini. Meskipun tempat sudah bertukar rasanya tetap sama. Cuma yang pasti tidak sama ialah harganya. Tapi kalau hati sudah suka mahal pun mahal lah..nak buat macammana lagi.









Mulanya saya bercadang untuk solat di R&R Gurun tetapi memandangkan dari jauh sudah nampak menara masjid tak wajar pula melengah-lenmgahkan waktu. Sudah pasti masjid Al A'la ini meninggalkan kenangan sangat manis bagi kami sekeluarga. Rumah  sewa kami hanya terletak di seberang jalan. Bila bulan puasa anak-anak lelaki saya seronok sangat  dapat pergi bertarawih sambil menunggu moreh di situ. Cuma bila saya sudah biasa dengan  masjid Bertam yang kemas dan bersih terasa beberapa  markah Masjid Al A'la ini ditinggalkan di belakang. Mungkin benar kata sahabat saya " Jika siak masjid terdiri dari pasangan suami isteri barulah masjid betul-betul bersih" Saya   menunggu anak-anak solat sambil mengenang kembali ketika saya membawa bang cu yang masih bayi ketika itu datang berkursus haji di masjid ini  15 tahun yang lalu.

Bila sudah solat terpaksa u turn untuk mencari jalan pulang. Di kiri jalan pula terpandang pula kedai mee Zul. Saya tiba-tiba  teringatkan anak-anak yang sangat  rindu pada mee Zul . Kerana masih ada masa saya  singgahlah sekejab.  Zul ini dulu berniaga di depan lorong rumah sewa kami. Sekarang tempatnya  pun sudah selesa. Kalau waktu tengahari memang kereta bersusun. Berkepul-kepul asap ikan bakarnya kelihatan dari jauh. Yang sering dikenang anak-anak ialah bila kami menghantar surat kabar lama kepadanya, dia pula baik hati dengan menghantar sebungkus dua mee untuk anak-anak. Meskipun masa sudah berlalu jauh tetapi rasa mee kuah bang Zul masih seperti dulu. Harga? Sudah pasti no komen.

Sampai di rumah sudah pasti sangat letih. Sehari suntuk di jalanan. Badan pula sakit-sakit. Memang usia sudah senja atau bahana diurut massage pad   Takasima di rumah Cik Nat hanya Allah sahaja yang tahu.

Tuesday, January 12, 2010

Semanis Gula


Bila hari panas...aduh memang sedap menghirup air kacang . Bila mahu membayar amboi berbaloi ke dengan harganya. Kalau dulu ais kacang mesti ada kacang merah, halwa pala, buah enau, jagung, ais krim, susu cair, susu pekat  dan sagu berwarna-warni baru semangkok Rm 1.50 sekarang jangan harap nak dapat RM 2 . Kalau ada pun semata-mata ais parut bersama kacang merah, air gula merah dan sedikit susu. Alasan yang sudah diduga mestilah harga gula naik.  Langkah terbaik cuma     3   cara sahaja.

1. Bayar tanpa banyak soal, walau hati merungut
2. Boikot dan tak payah makan, walau pun terasa kempunan
3. Berpindah mencari  gerai lain., tanda protes .

Yang tak bolehnya tekak bagaikan ketagih kalau tak pekena ais kacang kat kedai XYZ  itu. Jadi nampak gayanya  kena pilih langkah pertama juga gayanya. Jadi kenapa  nak bising-bising kalau dah tau itu langkahnya?  Memang betul ke kita  orang kita rakyat Malaysia selalu dengar dan selalu patuh? Yang untung tak tahu lah siapa. Kata peniaga mereka rugi sebab gula naik, kata pelanggan mereka rugi kerana nilai duit sudah susut. Kata kerajaan mereka tidak mampu lagi menanggung subsidi. Maka  jadilah macam bangau oh bangau gamaknya! Pi mai pi mai tang tu lah juga!

Monday, January 11, 2010

Kemudi Diri



Adab adalah tingkahlaku yang baik, budi bahasa yang halus dan sopan santun.Adab adalah cermin diri seseorang dan tidak boleh dipandang remeh. Bagimana kuih begitulah acuannya. Perilaku kita adalah cermin kepada murabbi kita. Orang yang mengajar, mengasuh dan mendidik kita. Melalui adab orang disekeliling dapat menilai prerwatakan sebenar diri seseorang.

Lebih-lebih lagi bila bertemu orang buat pertama kali, kita perlu mempunyai nilai diri yang tinggi dan sentiasa bertutur kata dengan sopan agar orang merasa dihormati dan selesa dengan kita.Dengan mengamalkan nilai yang baik bukan saja memberi kesan positif kepada diri tetapi juga memberi keselesaan kepada orang disekeliling kita.


Namun hari ini dalam mengejar apa yang dinamakan kemajuan kita mulai melupakan adab yang diajar nenek moyang yang disandarkan pula dari agama Islam yang murni. Tiada lagi adab dan batas pergaulan lelaki perempuan dan  pertelingkahan  amat mudah terjadi. Salah faham dan bahasa badan yang disalahertikan akan menimbulkan permusuhan dan  sudah pasti akibatnya sangat buruk sekali.Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu.

Adab Ketika Marah:

1. Biarkan ia berlalu dan belajar memaafkan. Saya suka mendengar ceramah Dr Fazilah Kamsah, sebelum tidur malam belajarlah memafkan orang yang bersalah kepada kita kerana kita belum pasti kita dapat meminta maaf kepada orang yang kita bersalah bila bangun dari tidur nanti. Ia adalah tanda kebijaksanaan emosi.

2. Gunakan rasa marah itu secara positif. Salurkan marah kepada orang dengan  melihat kesalahan yang kita lakukan. Mungkin marah  orang itu berpunca dari kesilapan, kelalaian dan kealpaan kita. Menurut kajian rasa marah itu hanya memuncak pada 30 saat pertama.

3. Kawalkan dengan bijak. Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Ingatlah marah itu datangnya dari syaitan.. Dia amat gembira melihat kita sesama Islam bercakaran, bermasam muka dan berpatah arang kerana sebab musabab yang sangat kecil dan remeh. Jika kita marah kerana orang lain diberi rezeki dan anugerah yang lebih baik dari kita eluklah disoal kembali Siapakah  kita yang cuba mencabar Allah yang telah memberi nikmat itu kepada hambaNya. Kita hanyalah hamba yang menumpang rahmatNya jika ditarik balik siapalah kita yang berhak menyoalNya. Marilah belajar reda meredai dan hidup dalam harmoni. Perbanyakkanlah istarfar agar dijauhiNya perasaan marah yang tidak bertempat. Hidup dunia adalah ladang akhirat. Bersedekahlah walaupun sekadar sebuah senyuman.
  

Thursday, January 7, 2010

Izin Dalam Restu


Buat masa ini tiada seorang pun anak lelaki saya yang tinggal di rumah.Semuanya jauh di mata kerana menimba ilmu. Dua anak perempuan pun jauh seorang di Pantai Timur dan seorang di Selatan . Yang ada di rumah buat masa ini hanyalah anak ke tiga. Sebagai seorang ibu saya sangat memahami perasaannya. Bila bercerita tentang kawan-kawannya yang sudah menjawat jawatan di merata sektor saya turut merasai kesayuaan nada suaranya. Namun sebagai ibu saya juga menjadi  tempat untuk dia merujuk dan meminta pandangan. Saya selalu berkata " Allah sudah menetapkan rezeki, jodoh dan maut untuk setiap hambaNya, Kita juga tidak akan mendapat semua yang kita ingini dalam satu masa. Jika ada pun itu adalah bonus dari Allah untuk hambaNya yang terpilih. jadi bersabarlah dan reda dengan apa yang telah dihamparkan kepada kita. Jika kita boleh membaca nasib kita di masa depan sudah pasti mudah untuk kita membuat keputusan, tetapi itu adalah mustahil. Jadi bertawakkallah dengan apa yang telah kita pilih pada hari ini. Mudah-mudahan Allah akan memudahkan hidup kita"

Esuk lusa dia akan berangkat semula ke Alor Setar untuk memulakan  program di bawah Koridor Utara. Pemilihan tempat juga setelah ditimbang dicongak segala kemungkinan. Sebagai ibu bapa sudah pasti kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua anak-anak. Jika boleh sudah pasti kita ingin selalu memayungi dan melindungi mereka, tetapi bak burung yang sudah kuat terbang betapa keras kita melarang sudah pasti burung itu tetap akan terbang jua.

Saya gembira dan saya sedih di masa yang sama.. Walaupun jarak tidak begitu jauh namun jauh di sudut hati saya tetap akan merindui dan merasa kehilangannya. Anak tetap anak walaupun sudah berpindah jauh dan bertukar status. Dan kami berdua tetap setia di pelabuhan ini menanti kapal dan kolek yang sudi mampir dan singgah mencari bekalan. Kesunyian yang bakal dihadapi memaksa saya kembali bekerja. Saya tahu kesibukan akan membuat saya letih dan dapat tidur nyenyak tanpa membiar rasa rindu itu berlama-lama di hati. Saya juga tidak ingin anak-anak merasa bersalah meninggalkan kami kerana itu adalah sunnatullah yang tidak dapat tidak mesti ditempuhi bila sampai masa dan ketikanya. Insyaallah sebagai seorang Islam kami sentiasa reda dengan apa pun jua ketentuan Allah. Sedikit demi sedikit kami belajar meleraikan beban tanggungjawab yang digalas selama ini kerana telah tiba saat dan ketikanya yang mengkehendakinya.

Renunglah Ke Dalam Diri


Tahun 2010 disambut dengan salji memutih di dada bumi . Anak saya pada mulanya begitu seronok bercerita . Dia pula makin kerap menalipon ke rumah. Agak free dan mungkin juga sunyi kerana ramai kawan-kawannya yang balik bercuti. Pada jangkaan awalnya dia ada juga bercadang untuk pulang tetapi kerana pertukaran university dan perpindahan rumah maka hasrat itu terpaksa ditunda. Saya masih ingat pertama kali berdiri diawal pagi membiar salji jatuh di atas muka. Seronoknya hanyalah Tuhan yang tahu. Betapa saya sangat bersyukur berpeluang merasai sendiri satu nikmat dan tanda kebesaran Allah. Dulu mana mampu untuk terbang ke sana sini bercuti seperti orang sekarang. Jika ingin melihat negeri orang sudah pasti kena mendapat keputusan cemerlang, ditawarkan biasiswa maka dapatlah ke luar negara. Beruntungnya anak-anak kita hari ini , hidup serba mewah dan mudah. Namun senang dan mewah itu belum pasti mampu menjadikan mereka  mampu menongkah arus zaman di masa depan. Saya baru berbual dengan seorang teman yang baru pulang dari Bandung. Katanya "Kita patut bawa anak-anak kita ke sana, melihat betapa susahnya hidup mereka sehinggakan mereka begitu kreatif berfikir untuk mencari beberapa helai rupiah untuk ditukarkan dengan nasi." Saya  tidak pasti mampukah anak-anak kita jika terpaksa hidup susah satu hari nanti. Kesusahan itu boleh terjadi bila -bila masa .Akibat bencana alam, jatuh miskin, peperangan dsbnya. Saya baru merasai saat yang memeritkan bila tidak dapat mengeluarkan wang dari ATM kerana kerosakan cip kad. Bayangkanlah ketika kita amat memerlukan wang tiba-tiba wang yang diharapkan hanya berada di dalam perut mesin yang kaku dan tidak berdaya membaca perasaan kita.Bank pula ditutup keranabercuti panjang pada hujung tahun. Oh peritnya saat itu. Alhamdulillah, masih ada stok makanan sejukbeku di dalam peti ais yang dapat dimasak untuk anak-anak. Sesungguhnya Allah akan menguji manusia dengan ketakutan, kelaparan dan kesakitan untuk menguji siapakah yang bersabar di antara kamu. Marilah mengajar anak-anak kita hidup sederhana kerana sesuatu yang tidak kita duga dan bayangkan boleh terjadi bila-bila masa sahaja. Kata Allah" Kun Fayakun:Jadilah engkau, maka benda itu pun jadi."

Tuesday, January 5, 2010

Saya Seorang Guru



Seawal jam 7 pagi saya sudah bearda di tadika. Bukan menghantar tetapi menunggu ketibaan kanak-kanak. Ya! Tahun ini saya kembali bertugas sepenuh masa. Once a teacher always a teacher. Sudah setahun bercuti kini kembali semula. Walaupun age gap yang jauh dengan kanak-kanak ini tetapi pengalaman menjadikan saya seronok bersama mereka. Macam-macam kerenah yang ditunjukkan. Berbagai cara juga kena dilakukan bagi menarik minat mereka dan memberi kepercayaan kepada guru-guru.



Nurul Asiah sungguh pandai membawa diri. Walaupun ditinggalkan ayah ibu dia tetap ceria. Mungkin kerana dari kecil sudah dibawa setiap kali ibunya menghantar dan mengambil kakaknya maka dia menjadi biasa dengan suasana tadika. Kasut yang putih bersih sudah pasti menggambarkan hati kanak-kanaknya yang putih mulus itu. Maka kitalah yang mencorakkan mereka.

Rutin pagi tetap dijalankan walaupun ibubapa sedang memerhati.

Komuniti Saya



Sudah jadi tradisi setiap datang Muharam sudah pasti emak dan nenek pasti sibuk mengacau bubur asyura. Walaupun versinya berbeda mengikut tempat tetapi rohnya tetap sama. Bergotong royong sambil merapatkan ukhuwah sambil mengenang kembali sejarah kewujudan bubur asyura.  Di masjid Bertam juga sudah pasti tidak terkecuali. Muslimin dan muslimat bergotong royong mengacau 3 kawah bubur yang kemudiannya diagih-agihkan. Sambil menunggu bubur masak sempat juga menjamu selera dengan makan tengahari yang sungguh enak yang disediakan Bang Hassan dari Kak Rubee Catering.  Gulai ikan kering, tamban kering, sambal belacan dan jantung pisang rebus. Suasana mesra kejiranan ahli jamaah masjid menjadikan siapa yang tinggal di sini keberatan untuk berpindah ke tempat lain.


Malam sebelumnya kami mendengar kuliah maghrib yang disampaikan Nazrey Johani, x Raihan. Beliau yang sedang mengumpul dana untuk menubuhkan Maahad Tahfiz di Ranau, Sabah berjaya mengutip derma kilat RM3000 malam itu. Suaranya yang lunak begitu menyentuh hati dengan lagu-lagunya yang sangat syahdu. Tidak terasa hari sudah menginjak ke tengah malam bila kami dua beranak meninggalkan perkarangan masjid.



Tengoklah wajah ceria jiran-jiran saya yang bertungkus lumus menjayakan aktiviti masjid. Bila saya datang mereka semua sibuk menyuruh saya mengambil gambar mereka. Kebetulan hari Ahad lepas hari ibubapa menghantar anak-anak balik ke asrama jadi kehadiran tidaklah seramai tahun lepas. Namun dengan bantuan bapa-bapa dapatlah juga 3 kawah dikacau dalam masa 4 jam. Insyaallah, tahun depan kita kacau lagi!Bila pula nak buat projek mengacau dodol?

Kisah Awal Tahun



Oh ! anak bongsu saya sudah naik tingkatan 3. Berdiri pun sudah melepasi kepala saya. Namun manjanya masih serupa dan pelupanya pula mengalahkan  mak nenek. Hm..sabar je lah dengan kerenah anak-anak. Konon-konon nak ajar mereka berdikari dan beri kepercayaan mengurus diri dan barang tapi dah terlupa nak buat macam mana. Pengajarannya anak-anak bagaikan layang-layang di udara tak boleh dilepas tali terajunya terus menerus sekali sekala kenalah dilepas dan ditarik bagi mengimbangkannya. Dek terlupa barang penting untuk kegunaan asrama mak kenalah diusahakan juga menghantar.Mujurlah asrama sekadar 6km dari rumah. Kalau yang jauh di Banting dan Bukit Kayu Hitam sudah pasti Pos Malaysialah jadi penyampai utusan. Selalu perkara begini mak-mak sahaja yang sanggup uruskan kalau ayahnya mungkin akan berkata "Biar dia rasa kena punish sebab tak bawa barang" Mak kan selalu tak sampai hati, cuma harap anak-anak pun tak sampai  hati membiarkan ibu ayah mengisi hari-hari tua yang sepi.Kami tak minta balas semua yang dilakukan tetapi kami sangat mengharapkan doa anak-anak bila kami sudah tiada di dunia nanti. Ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan harapan agar anak-anak akan pulang dengan membawa kejayaan. Dunia dan akhirat.

Saturday, January 2, 2010

Azam Diri




Tahun  bertambah sudah pasti akan bertambah usia lagi. Bekalan dan amal adakah setanding dengan usia yang ada? Oh itu satu persoalan berat dan sangat  besar. Yang jika boleh tak ingin ditanya dan disoal orang kerana kita sukar mencari jawapannya. Meskipun begitu jauh di sudut hati sudah pasti soalan ini sentiasa dan terus berlegar dalam minda walau betapa keras kita mengusirnya.

Berdoa dan berdoalah ...banyakkanlah doa agar Alalh menetapkan kita dalam laluan jalanNya yang lurus. jiak kita sudah bertemu jalan lurus .Jika belum segeralah mencari jalan pulang .Meskipun berbagai rintangan yang menghalang dalam kita berusaha menuju mardhatillah.

 Sabda nabi SAW

"Sebaik-baik kamu orang yang panjang umurnya dan baik amalannya"

Umur yang panjang jika dihabiskan dengan melakukan kebaikan  dan mencegah yang mungkar sudah pasti akan dicatat kebajikan yang banyak dan akan diangkat darjatnya oleh Allah. Sebaliknya jika umur yang panjang diisi dengan membuat dan memikir untuk membuat kemungkaran dan derhaka kepada Allah adalah usia yang sangat  celaka. Janganlah kita hanya menyesal pada hari dimana penyesalan sudah tidak berguna lagi.

Perbanyakkan amal baik dan mohon ampun diatas segala kesilapan dan kesalahan masa lalu yang kita sengajakan mahupun yang tidak disengajakan. Manusia tidak akan lepas dari menghitung 5 perkara dalam hidupnya.

Masa muda ingat masa tua
Masa sihat ingat masa sakit
Masa kaya ingat masa miskin
Masa lapang ingat masa sempit
Masa senang ingat masa susah.

Jika kita melupai hadis di atas sudah pasti kita akan menyesali diri sambil mengharap  diberi peluang kedua sedangkan peluang kedua itu hanyalah impian dan harapan kosong.Jadi marilah kita sama -sama menghitung diri kerana soalan di awal  tadi hanya kita yang mampu mencari jawapannya.Bermulalah melangkah.