Wednesday, December 30, 2009

Penyejuk Mata







Tuesday, December 29, 2009

Kembara Hati



Tidak bercadang sebenarnya untuk balik kampong. Tapi bila suami mengusulkan hm..cepat saja saya bersetuju. Rupanya niat asal untuk membawa anak-anak menziarahi wan dan mak tok sebelum masing-masing pulang ke asrama tidak berhenti setakad itu. Alor Setar yang sudah berpuluh tahun menjadi tempat tinggal kami membuatkan banyak  benda yang hendak dilakukan bila balik ke sana.
Seronoknya bila dapat makan nasi beramai-ramai . Saya berkata" Sepatutnya kita kena datang rumah mak tok untuk sehari setengah baru cukup untuk menyelesaikan banyak perkara"



Hari sudah hampir lewat petang bila kami bertolak pulang. Meskipun agak letih terkejar ke sana ke sini tetapi hati puas kerana dapat membuat mak dan abah gembira dengan kepulangan mengejut kami. Yang penting mak sudah mendapat bekalan ubatnya yang telah terputus beberapa hari dek tak ada orang nak bawa mak ke klinik. Memang hidup ini mesti memberi dan menerima. Kita akan rasa puas bila orang sudi menerima khidmat kita dan kita juga bergembira bila orang sudi pula membantu bila kita pula perlukan sesuatu. Jika semua orang fikir begitu tentu aman dunia ini tetapi yang terjadi ramai yang bersikap aku-aku dan dia-dia..Bolehkah kita mencari satu titik persamaan? Kalau kita sering menyebut kau dan aku beda.Fikir-fikirlah!

Monday, December 28, 2009

Jiran


Sudah menjadi tradisi bila ada jiran nak pindah, kami akan berpakat membuat farewell dinner. Yang jadi tekong sudah pasti  orang belakang rumah saya. Yang pandai dan rajin memasak. Biasanya saya ada juga membawa sepiring dua untuk dikongsi bersama jiran-jiran. Kata orang jiran bagai adik beradik, mereka yang akan kita cari bila ada berita suka mahupun duka untuk dikongsi bersama. Namun untuk sampai ke tahap itu memaang memerlukan timbal balik dari kedua pihak. Memberi dan menerima budi. Meskipun baru berjiran sejak 2003 tetapi kami saling hormat menghormati. Bila salah seorang balik kampong sudah pasti ada yang tolong tengok-tengokan rumah, bukan mudah jiran meninggalkan kunci rumah mereka dan kita meninggalkan kunci rumah kita kepada mereka. Bila ada yang tak puas hati, kami akan bercakap tetapi setelah menyusun kata berkali-kali agar tiada yang terguris dan terluka.



Jiran sebelah rumah sudah berpindah ke Perlis. Tiada lagi telatah anaknya yang bisa menceriakan hari-hari kami. Walaupun baru berusia 6 tahun tetapi butir katanya mengalahkan orang dewasa. Kini rumah sebelah dihuni keluarga baru. Semuga akan bertunas pula hubungan baik dengan pasangan ini. Bukan mudah mendapat jiran yang baik. Kalau jiran press motor malam-malam bukanlah jiran yang baik, kalau jiran mengetuk paku ke dinding malam-malam juga bukan jiran yang baik, kalau kucing jiran datang buang air di ruamh kita macamana pulak.? sedangkan kita yang baik hati jamu dia makan setiap hari.

Saturday, December 26, 2009

Kemalangan Ngeri Lagi



Bila musim cuti dan perayaan kita memang tidak dapat mengelak dari bergerak ke sana ke mari. Bila memikir tentang sikap pemandu ketika di lebuhraya memang rasa gerun nak berjalan. Tapi apa kan daya, mahu atau tidak terpaksalah. Kata orang ajal maut di tangan Tuhan, tapi kalau kita berhati dan berhemah mungkin kemalangan dapat dielakkan. Sebagai seorang muslim kita juga ada senjata yang mampu menolak sesuatu musibah. Iaitu doa. Jadi saya selalu berpesan sangat kepada anak-anak, jangan terlalu seronok dan jangan lupa baca doa menaiki kenderaan. Musibah mungkin kena jika sudah ditakdirkan tetapi Allah  tetap memelihara kita. Jadi tidak mustahil kita melihat kenderaan yang hancur teruk tetapi pemiliknya hanya cedera ringan. Percaya dan yakinlah doa mampu menolak musibah.Yang penting kita yakin dan berdoa dengan tulus hlas. Dao orang sedang bermusafir sangat dimakbulkan.

Bercakap tentang sikap pemandu bas, saya baru sahaja mengalami peristiwa yang membuat darah saya naik. Saya dan teman dalam perjalanan pulang dari KL minggu lalu.. Pemandu bas yang kami naiki eluk saja berbual dengan temannya yang berdiri di tepi pintu. Tiba-tiba ada sebuah bas ekspress lain memotong, bila bas tersebut melepasi bas kami bas itu cepat-cepat masuk ke lorong kiri. Agak beberapa KM bas kami cepat-cepat memotong bas tadi pulak. Saya berkata kepada teman sebelah " Depa ni main aci lut ka? (Hide n seek). Teman saya terus menegur pemandu bas "Ai...bawalah bas eluk-eluk sikit, anak kami ramai dok tunggu di rumah!" Pemandu dan teamnnya hanya ketawa. Mungkin suka kerana buat adrinalin kami naik. Kecut dan takut!

Saya hanya mampu menggeleng kepala dan sepanjang jalan mulut terus berdoa dan berzikir. Mata asyik melihat petanda jalan .Berapa jauh lagi untuk sampai  ke destinasi yang dituju. Kalau melihat cara pemandu bas ekspress membawa bas macam tidak cukup tanah mereka 'lari'. Sebab itulah saya tak suka anak-anak menaiki bas pada waktu malam, kerana sudah pasti saya dan suami tak dapat tidur kerana asyik terifikir-fikirkan anak-anak di dalam bas. Bayangkanlah kalau kita berkereta dari Penang ke KL anggaran masa ialah 4 jam, tetapi bila naik bas dari Butterworth jam 12 malam dan tiba jam 4pagi.Berapa laju mereka lari., itu kena tanya pemandu-pemandu tersebut.

Saya tumpang bersedih di atas kehilangan  nyawa penumpang bas dari Klang ke Kangar tu. Ajal maut di tangan Tuhan tetapi jika kita  beringat dan menjalankan tugas dengan penuh amanah mungkin kemalangan ngeri ini dapt dielakkan. Semuga Allah memberi kesabaran yang tinggi kepada ahli keluarga yang tinggal dan kita yang hidup ini terus mengambil banyak-banyak iktibar dari kejadian ini.

Bertangguh Itu Pencuri Masa



Minggu depan anak-anak akan mula mengutip barang masing-masing untuk pulang ke asrama. Saya yang suka mereka bersedia awal kerana tahu sajalah kadang-kadang di saat akhir ada saja perkara lain yang perlu diselesaikan. Nama pun anak...bagai pahat dengan penukul, sekali ketuk sekali buat. Yang peliknya komen mereka kalau kat asrama adik bukan macam nilah ummi. Hm... agaknya mulai hari ini kenalah saya belajar membuka telinga mendengar dari  membuka mulut dan banyak berkata-kata . Lepas ini kita tengok pandai tak mereka bersikap proaktif dan saya hanya perlu memberi thumb up kerana semuanya beres belaka..




Seronok juga bila bercuti panjang. Banyak perkara yang dapat dilakukan. Bersendirian  mahupun bersama keluarga. Minggu depan juga ada cuti panjang lagi. Yang tak seronoknya bila terpaksa berjalan jauh menggunakan highway. Jalan yang dua lorong tetap terasa sempit. Sikap pemandu yang membawa kereta ikut suka dia juga menjadi masalah besar bila memandu di musim perayaan. Adakala bila musim cuti saya lebih gemar berpusing di dalam rumah. Tahu sajalah tugas rumahtangga memang tak pernah habis. Yang penting kita kena betul-betul merancang perjalanan jika terpaksa berjalan jauh. Apa lagi nikmatnya jika ingin mandi laut tetapi terpaksa terperangkap dalam traffik jam berjam-jam lamanya. Jika kita membuat persediaan awal sudah pasti banyak perkara yang dapat dilakukan. Hati pun tenang dan fikiran pun lapang.

Friday, December 25, 2009

Ucap Selamat


Hari ini sudah jarang-jarang kita dengar marhaban dialunkan ketika majlis perkahwinan. Tempatnya sudah digantikan dengan DJ dan kalau yang keterlaluan akan disedikan pula set karieoke. Zaman sudah berubah tetapi  saya masih suka mendengar alunan marhaban dan qasidah memuji Rasul sambil mengkhabarkan kepada masyarakat ada sepasang teruna dara bergelar suami dan isteri hari ini.


Esuk adalah hari yang paling banyak jemputan kahwin. Mungkin kerana cuti umum yang panjang atau kerana mengejar cuti sekolah yang hampir tamat.Ketika ini kenduri kahwin sudah tidak bermusim. Jika dulu kena menunggu cuti sekolah baru dapat merasa lauk dan nasi kenduri.Kini boleh kata berselang minggu ada sahaja majlis kahwin yang dilangsungkan. Dulu saya dan suami tertanya-tanya macamana kedai andaman pengantin boleh hidup. Rupa-rupanya pakej yang ditawarkan bukan memakan mata ratus malah sudah ada yang hampir 10 ribu pun ada. Hai...kalau nak diikutkan hati dan rasa memanglah..tapi janganlah membazir. Memanglah kahwin sekali seumur hidup tetapi alangkah baiknya wang yang ada disimpan untuk menempuh hidup berumahtangga nanti.

Memang tepuk dada tanya selera.tetapi adakala selera kena dikawal agar tidak semput bila majlis sudah selesai. Berpada-padalah dan bersederhana. Tidak bermakna kenduri yang berbelanja sakan akan menjamin kebahagiaan dan bukan juga kenduri sederhana tidak bahagia. Bagi bakal pengantia baru, lengkapkanlah diri dengan ilmu berumahtangga. Jika malas ke dapur ringan-ringanlah tangan di ceruk dapur,  takkanlah suami nak makan lauk beli aje. Dari zaman bujang dah makan lauk kedai tak kan dah kahwin pun kena mengatur kedai juga. Bermulalah dari menu yang simple-simple. Kalau tak tahu masak cari kat youtube pun banyak menunjuk ajar cara memasak. yang penting mahu atau tidak. Meskipun suami tidak menuntut tetapi kalau kita suka mencuri perhatiannya tentu tak rugi kan?

Walauapa pun, saya ucapkan selamat mennempuh gerbang perkahwinan untuk semua yang bakal melangsungkan perkahwinan.Semuga cinta hari ini akan membawa anda semua terus hingga ke syurga. Cinta itu mesti dibelai dan disuburkan bukan sekadar hari ini tetapi sepanjang zaman.

Thursday, December 24, 2009

Perjalanan Yang Indah



Tanpa lama merancang kami segera bertolak ke Kuala Sepetang. Perjalanan hanya mengambil masa kurang dari 2 jam. Dari kejauhan saya sudah  nampak Kota Ngah Ibrahim di daerah Matang. Beliau yang saya kenal nama seawal usia 10 tahun melalui buku-buku Tawarikh atau Sejarah. Tidak terduga setelah berpuluh tahun mengenali baru hari ini saya dapat menjejak kaki ke rumah dan kotanya. Terimbau kembali  segala fakta yang saya baca sekian lama dan betapa sejarah satu masa dulu telah mencorakkan kehidupan masa kini.



Saya yang mencintai segala peninggalan lama memang sangat teruja meneroka rumah yang begitu gah ini. Kekayaan beliau yang melimpah ruah sehingga beliau di beri gelaran Menteri Larut. Meskipun sudah begitu lama usianya ,rumah ini masih nampak teguh dan mampu menjadi tempat generasi muda mengenal sejarah dan  bagaimana Inggeris mula mencampuri urusan pentadbiran negara kita. Banyak yang dapat dipelajari jika kita rajin mengimbau sejarah silam. Kesialpan hari semalam sepatutnya menjadi iktibar. Dalam al qur'an Alalh sering mengulang-ulangkan cerita kaum terdahulu sebagai pelajaran kepada generasi kini dan akan datang. Yang baik dijadikan tauladan.




.

Jika sudah ke Kuala Sepetang sudah pasti tidak sah jika tidak singgah makan mee udang. Berderat-deret kedai mewar-warkan mee udang masing-masing. Bagi saya yang sudah menjadi pelanggan tetap mee udang Pulau Sayak sudah pasti tetap akan memilih ke Pulau Sayak. Panorama dan hembusan bayu laut yang menampar muka ketika makan di Pulau Sayak sudah pasti tidak dapat menandingi suasana  kedai di Kuala Sepetang. Lain tempat lain pulak belalangnya.


Di hadapan gerai mee udang yang kami singgah terdapat pula Hutan Paya Bakau. Tidak ada pelawat lain ketika kami berkunjung kecuali 2 orang pelancong German. Suasana tenang dan damai membuat kami asyik melihat anak belacak berkejaran di atas selut dan helang yang begitu cantik terbang rendah melihatkan kehebatannya. Tanpa disedari masa berjalan begitu pantas sekali. Masa untuk pulang dan kembali ke dunia nyata.


Perjalanan yang biasa menjadi  sangat indah kerana kami dapat berbual dan bercerita tentang berbagai hal-hal dan kerenah anak-anak. Adakala kita ingin berkongsi rahsia bersama  pasangan kita, tetapi jika tidak kena cara dan ketikanya  kita bukan mencari jalan keluar tetapi menambahkan kusut keadaan. Jadi apa yang sering kami amalkan bila ada masalah, kami akan ke mana-mana berdua dan singgah di mana-mana tempat yang sesuai. Ketika itu dia dan saya  dalam keadaan yang santai dan tidak tertekan. Maka  insyaallah yang kusut akan sama-sama difikirkan bagi dileraikan.

Seribu Impian


Seronok rupanya sekali-sekala berperangai macam anak muda. Berjalan berdua sambil menghirup udara segar. Entah kenapa sejak setahun dua ini saya yang sering meninggalkan rumah.kata orang sayang isteri (suami) tinggal-tingalkan. Walaupun agak letih kerana saya perlu menyiapkan segala keperluan untuk orang yang akan ditinggalkan tetapi memang berbaloi kerana kita tentu tidak mahu dikejutkan di awal pagi dengan panggilan telifon kerana si dia mencari  barang .

Saya memang tidak bekerja sepenuh masa tetapi kadang sibuk saya macam YB lah pulak. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan rutin hidup semasa tinggal dengan arwah emak di KL dulu semunya terbawa-bawa hingga ke alam rumahtangga. Sibuk dengan keluarga, kejiranan dan kemasyarakatan. Jadi bila berpeluang bersama suami memang saya sangat menghargai saat-saat itu.

Saya suka sangat kata-kata Saidina Ali Ra ini"

"Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan yang dilakukan akan terus kekal dan sekiranya berseronok dengan dosa maka seseungguhnya keseronokan itu akan hilang dan dosa yang dilakukan akan terus kekal"

Minggu lepas tanpa dirancang kami ingin ke Mengkuang Dam, tetapi dipertengahan jalan ternampak pulak signboard Mutiara Kristal.apalagi jika sebelum ini sekadar mendengar nama jadi apa salahnya jika kami mencuba menunya. Meskipun tempatnya agak ke dalam kampong tetapi bila tiba di situ. Hati menjadi  jatuh cinta pandang pertama dengan panoramanya.

Sambil menanti hidanagan saya meninjau-ninjau kandang kambing. Sudah pasti di fikiran saya "kalau Zaffran ada tentu best!" Tiba-tiba  suami saya berkata "Kalau bawa Zaffran baru seronok" Saya tersenyum sambil menguis airmata di tubir mata. Senang betul hati ini tersentuh ...Ya! saya seronok bersama suami tetapi bila menatap hidangan sudah pasti wajah-wajah anak-anak yang ditinggalkan pasti terlayang di fikiran. Sudah pasti di hati kami berdua hanya ada rasa kasih yang melimpah-limpah terhadap mereka. Kasih tanpa syarat. Yang tidak akan luntur walau berbagai kerenah yang dipamerkan mereka.

Sesekali dalam kekalutan dan kesibukan saya dan suami sentaisa berusaha untuk meluang waktu bersama. Hari ini kami  berhasrat menuju ke arah selatan. Melihat tempat orang, merasai air tangan orang dan yang penting bersama menganyam impian untuk terus bahagia hingga ke akhirnya.Ameen

Wednesday, December 23, 2009

Kenang-kenangan


Sudah hampir dua tahun anak ini menceriakan hari-hari kami sekeluarga. Kehadiran yang dinanti-nantikan dan sentiasa  dibelai dengan doa dan ayat -ayat quran sepanjang ia di alam rahim. Kini ia sedang belajar mengenal hidup, belajar menerima semua yang baik dan buruk sebelum dapat menapisnya dengan akal yang disinari nur Islami. Ia ibarat kain putih yang menerima apa sahaja yang dicorakkan. Maka ibu, abah ,pengasuh dan semua yang hampir dengannya bertanggungjawab membentuk dia menjadi insan yang kamil. Anak adalah anugerah dan juga amanah Allah kepada kita. Ia hanya pinjaman dan kita akan dipersoalkan dengan tanggungjawab kita terhadapnya.






Kewujudan Zaffran bermula dengan ijab dan kabul ibu serta abahnya 3 tahun lalu. Sebagai orang tua kami ingin semua anak-anak mengecapai kebahagian berumahtangga. Bila pendidikan sudah disempurnakan maka sudah pasti kita sentiasa berdoa agar anak-anak perempuan kita bertemu jodoh dengan lelaki yang  baik agama, baik akhlaqnya dan mampu menunaikan hak terhadap isterinya. Bila sudah ada  semua krateria itu maka sudah pasti ibu ayah akan mewar-warkan majlis perkahwinan dan merestuinya.


Bukan mudah melepaskan seorang anak gadis untuk dinikahkan. Walau betapa dalam dan kuatnya cinta itu ia  akan luntur jika disandarkan pada kecantikan rupa, kekayaan dan pangkat darjat. Jika dijadikan agama sebagai sandaran insyaallah rumahtangga itu tetap akan mampu menempuh badai dan gelora perkahwinan. Rumahtangga mesti dinaungi mawaddah (kasihsayang) dan rahmah (belas kasihan). Tidak semua orang mampu bertahan dengan  berbagai dugaan yang datang. Namun jika kita mengamalkan sifat sabar, berlapang dada, berpuashati dan bertolakansur segala yang susah akan menjadi mudah. Marilah mendalami ilmu berumahtangga sebelum melangkah jauh ke alam itu. Bersedialah dengan bekalan yang banyak agar tidak putus nafas di tengah jalan. Ia adalah perjalanan mencari reda Ilahi. Ia menghubungkan silaturrahim. Ia menjadi penyambung umat manusia agar terus dan terus mengabdikan diri kepada Allah.


Selamat melangkah ke tahun 4 , madrasah rumahtangga, 
Zulffi & Ruqayyah.Ummi & abu sentiasa mendoakan dari kejauhan agar badai dan taufan menjauhi bahteramu.Ameen

Monday, December 21, 2009

Lisan Tanpa Suara



Sudah hampir dua minggu saya dan suami pulang dari menyertai lawatan sambil belajar ke Yayasan Al Jenderami, Jenderam Hulu, Selangor. Ingatan manis semasa di sana masih segar dalam ingatan. Bila bertemu kawan dan teman sudah pasti cerita tentang tenmpat ini yang jadi bahan bualan kami. Saya suka melihat suasana tenang ,bersih dan damai yang menyapa kami petang itu. Ramah mesra dan adab Islam yang dipamerkan membuatkan hati kita menjadi cepat mesra dan terasa berat hati mahu melangkah pergi.



Suara lembut dan lunak anak-anak remaja ini memperdengarkan qasidah berserta ketukan kompang meresap lembut jauh ke dasar hati. Tanpa terasa airmata bertakung di tubir mata mengenangkan perjuangan  Rasulullah SAW ketika zaman awal Islam dahulu sedangkan  kita sebagai umatnya sangat lemah untuk mengingati dan memuji Baginda setiap kali namanya disebut. Sesekali hati kita perlu diketuk agar sedar dan sentiasa mengingati Baginda. Tanpa Baginda sudah pasti kita tidak akan menikmati iman dan hidup sejahtera sebagai seorang mukmin hari ini



Peluang melihat cara anak yatim di sini diurus dan didisiplinkan sangat menyentuh hati. Adab dan peraturan yang diterapkan muga-muga dapat melahirkan anak-anak muda yang bakal mewarisi alam ini dengan cara hidup yang dituntut Islam. Miskin dan yatim bukan bererti hidup tidak berguna tetapi kesusahan ini insyaallah akan menjadikan jiwa lebih kental, tahan ujian dan kuat jati diri. Besarlah pahala mereka yang membesarkan anak yatim, setiiap kali kita menyapu kepala mereka insyaallah, Allah akan mengampunkan dosa kita sebanyak helaian rambut mereka. Jikalah kita tahu betapa besarnya pahala yang Alalh sediakan sudah pasti masing-masing dari kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membela anak yatim.



Komplek ini turut juga memberi perlindungan kepada Warga Emas yang lebih seuka dipanggil Warga Akhirat. Mereka bukan nenek-nenek yang tiada keluarga tetapi mereka lebih suka tinggal di sini. Kehidupan tanpa perlu bersusahpayah memikir kerenah anakcucu membuatkan  hati mereka lapang dan tenang. Mereka tinggal sendiri, berdua atau berempat dalam rumah yang diwakafkan denagn kadar bayaran yang sangat minima. Rutin mereka ialah mengisi sisa usia dengan membanyakkan amal , zikir,bacaan quran dan mendengar pengajian kitab-kitab. Nenek yang paling tua di situ berusia 81 tahun.Beliau masih sihat dan setiap kali waktu solat anak-anak yatim akan bergilir -gilir menolak kerusi rodanya untuk ke masjid. Bila melihat mereka saya terbayangkan arwah emak. Jika dia masih hidup mungkin tempat ini yang akan jadi pilihannya untuk menghabiskan sisa usia. Di sini mereka tidak dipinggirkan tetapi sangat dihargai dan diberi perhatian. Apalah lagi yang diharapkan selain sisa usia terisi dengan bekalan yang mencukupi untuk kembali bertemu Allah.


Sesungguhnya kita sangat digalakkan berjalan melihat bumi Allah. Jika kita membuka mata, telinga dan mengajak  akal berfikir sesungguhnya setiap tempat akan memberi satu pelajaran yang tak dapat tidak akan membantu  kita menjadikan hidup ini lebih baik dan lebih baik. Muslim yang baik hari ini lebih baik dari hari semalam. Dan hari esuk lebih baik dari hari ini.

Thursday, December 17, 2009

Di akhir Tahun



Jika difikirkan waktu lapang memang tidak pernah ada masa yang lapang. Semunaya dipenuhi dengan aktiviti dan tuntutan hidup. Jadi ketika semua anak-anak berkumpul di rumah sempena cuti Maal Hijrah dan bersambung cuti hujung minggu saya akan meminta mereka memberi sedikit masa untuk diri saya relax dan recharge iman dan iltizam saya. Dalam perjalanan sebagai seorang hamba Allah yang sedar akan tuntutan agama saya selalu merasa semput dan tak cukup nafas. Adakala saya ingin 'pencen' dan duduk diam-diam , tetapi mungkin sudah ditentukan Allah saya diberi sekeping hati yang tak sampai  hati menolak permintaan dan menolak satu-satu tugas yang diberi. Dalam serba kekalutan saya cuba juga sedaya mungkin untuk menyempurnakan tugas tersebut. Meskipun tidak memegang tugas bergaji tetapi tugas yang tidak bergaji ini lebih sibuk dan tidak tentu masa sifatnya. Ketika orang sudah mencari tempat tidur kita msih sibuk berbincang itu dan ini. Ketika orang membawa  keluarga berjalan-jalan kita sibuk mengatur itu dan ini.



Saya pernah membaca rencana "Learn to say no" semata-mata untuk mencari teknik berkata "no" bila diminta melakukan sesuatu. Malangnya bila sampai  ketikanya  hati saya yang paling dalam selalu berkata "Kenapa menolak pahala di depan mata?". Bila kita sudah lama berkecimpung dalam arena dakwah ini, hati kita akan menjadi tenang, lapang dan gembira bila dapat melaksanakan satu tuntutan. Penat , letih dan keluar wang usah dikira lagi tetapi bila Allah menggantikan dengan cara yang tidak kita duga dan dalam bentuk yang tidak kita sangka maka ia menjadi satu inisiatif yang membuat kita ingin buat dan terus buat.





Cuma yang sering saya ingatkan pada diri sendiri berkali-kali ialah supaya sentiasa ikhlas dan tidak mengungkit apa yang telah kita kerjakan. Jika tidak amat dibimbangi segala amalan kita akan menjadi sia-sia dan berterbangan bagai debu-debu ditiup angin. Nauzubillah. Yang paling saya harapkan sudah pasti redha dan izin suami. Insyallah, redha suami adalah redha Allah. sudah pasti pahalanya akan dikongsi bersama pula.Ameen.

Esuk insyallah kita semua akan menyambut tahun baru Maal Hijrah, biasanya surau dan masjid akan membuat bacaan doa akhir tahun selepas asar dan doa awal tahun selepas maghrib. Kita memohon dihidupkan Allah terus dalam iman agar dapat terus beribadat kepada Allah.

 Masjid Bertam juga tidak terkecuali, ada ceramah perdana malam ini oleh Ustaz Mutalib Maarof dan selama dua hari berturut-turut  (19 & 20 hb Dis)  ada pengajian kitab Faraid secara ekspres oleh Tuan Sheikh Hj Fisol  Omar. Beliau yang didatangkan khas dari Kedah memang amat mahir dalam bidang ini. Kelas bermula 8pagi-12 t/hari. Berhenti rehat dan disambung semula selepas asar hingga 10 malam. Marilah melapangkan diri kita untuk menadah kitab dan berada di majlis yang dipayungi sayap-sayap malaikat.

Sempena Tahun Baru ini marilah kita sama-sama menghisab diri, melihat sejauh mana sudah kita berjalan menuju redha Ilahi dalam kehidupan kita. Bila datang tahun baru bererti makin singkat masa untuk kita berlama-lama di bumi ini. Kita akan pergi dan tempat kita akan digantikan dengan orang-orang baru. Jadi lihatlah kembali bekalan yang telah kita kutip selama tempoh kita berjalan di atasnya.Mencukupi atau tidak untuk hidup di akhirat yang tiadak penghujungnya, hanya kita sahaja yang mampu menjawab.




Jika diizin Allah, malam ini saya akan berpergian ke Selatan. Meskipun anak-anak pulang memenuhi rumah saya tetap juga bertekad menyempurnakan hajat dan cita-cita ingin menghadiri satu multaqa'di sana. Anak ada bertanya  bolehkah  saya tidak pergi , tetapi saya sudah berazam tetap akan pergi demi untuk membaiki amal diri. Sudah lama benar saya tidak menghadiri program sebegini. Lagipun cuma 2 hari sahaja.

Suami saya pula sudah penuh dengan agendanya sepanjang ketiadaan saya. Jemputan kenduri  masuk rumah dan dua jemputan kahwin membuatkan saya tidak perlu memikirkan makan minum mereka yang akan ditinggalkan. Alhamdulillah. Anak-anak juga sudah mengatur perancangan masing-masing. Mereka pun sudah besar-besar dan sudah pandai mengatur hidup maka sekali sekala saya ingin diberi peluang untuk membaiki diri dan iman saya dengan menhadiri majlis yang akan meningkatkan iman dan melonjakakn aktivisme saya. Tiada yang saya harapkan melainkan  kebaikan hidup di dunia dan diakhirat untuk diri sendiri dan semua yang dekat di hati saya.





Selamat menyambut Maal Hijrah, masa untuk berubah...

Wednesday, December 16, 2009

Pujuk-pujuklah Hati





Manusia dijadikan Allah sentiasa dalam keadaan keluh-kesah. Jika difikirkan semua yang ada disekeliling kita semuanya tak kena dan tak menepati selera kita.Itu tak kena, ini tak betul. Untuk mengimbangkan sifat buruk ini Islam telah ada set of rulesnya. Yang ditunjuk melalui Nabi SAW. Akhlaqnya ialah al qur'an. Apa sifat yang baik dalam kitab itu semuanya dipamerkan oleh Baginda sebagai contoh kepada kita yang mengaku umatnya.

Sifat sabar dan bertolak ansur sangat mudah disebut, tetapi sukar dilaksanakan. Bila kita bersabar dengan kerenah orang bukan bererti kita kalah atau lemah atau mudah diperlakukan sesuka hati. Adakala kita bersabar kerana tidak suka bising-bising atau mengusutkan lagi keadaan. Maka kita berlapang dada dan segera menerima kerenah orang itu sebagai ujian dari Allah untuk menaikkan darjat kita.





Untuk satu hubungan inter personal yang harmoni, mesti datang dari dua belah pihak. Yang sabar dan yang kurang sabar. Jika kedua-duanya sama-sama keras sudah pasti mesti saling berantakan . Jika kita saling bersabar, saling bertolak ansur dan saling maaf dan memafkan alangkah indahnya Islam itu dilihat oleh mata-mata manusia. Jika kita saling bercakaran , saling tuduh menuduh tanpa asas dan saling salah-menyalah maka sudah pasti tempias itu akan kembali kepada Islam itu sendiri. Hodohnya Islam kerana umatnya tidak mempamerkan cara yang diajarkan oleh Islam.

Sempena tahun baru Maal Hijrah, marilah kita melihat kembali kepada perpatah lama yang diwarisi zaman berzaman dari nenek moyang kita dulu. Carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum kembali, air dicincang takkan putus, hati  gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah...dsbnya.

Jadikanlah diri kita orang yang banyak mendengar dari orang yang banyak berkata-kata. Jika banyak berkata banyak pula salahnya dan banyak pula hati-hati yang terguris dan terluka. Jika ingin memarahi seseorang atau satu pihak renung-renungkan semula ke dalam diri kita, adakah kita sudah cukup sempurna hingga kita hanya nampak salah orang. Dalam adab berumahtangga Allah juga berfirman jika kamu tidak menyukai isteri kamu kerana kekurangannya maka bersabarlah kerana banyak kebaikannya yang tidak kamu ketahui. (Maaf tak ingat ayat mana)





Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Maaf memang mudah diucapkan tetapi hati yang luka tetap akan ada parutnya .Meskipun masa pasti akan memulihkan semula luka itu. Jadi dalam mencari kehidupan yang harmoni maka banyaklah berlapang dada, mendengar dahulu sebelum membuat kesimpulan dan sesungguhnya orang mukmin itu ibarat  cermin dianatar satu sama lain. Jika dengan orang lain kita boleh berbaik-baik, bertolak ansur dan bermanis muka kenapa tidak kita lakukan yang sama dengan mereka yang hampir dan paling kita cari  bahunya untuk kita sandarkan kepala ketika ditimpa musibah dan dilanda duka..

Saya teringat pada satu hadis yang sangat saya amalkan dalam kehidupan. Jika kamu dituduh melakukan satu keburukan yang tidak kamu lakukan, sedangkan kamu mampu menafikannya tetapi kamu bersabar dengan ujian itu maka Allah akan dirikan untuk kamu sebuah rumah di pinggir syurga. Hai...besar ganjaran Alllah itu. untuk orang yang banyak bersabar. Mentari tidak selalunya mendung, hilang gelap timbullah cahaya. Begitulah indahnya perjalanan hidup ini. Penuh warna-warna yang menjadikan ia satu perjalanan yang indah sehingga kita kembali bertemu Tuhan Yang Menciptakan kita.



Sunday, December 13, 2009

Tabahkan Hatimu,wahai anak

Saya baru pulang dari berjaulah ke Selangor. Dalam kekalutan sudah pasti tidak sempat membaca akhbar dan menonton berita. Ketika saya dan suami dalam perjalanan pulang ,  teman-teman anak saya datang berziarah. Maka bang cik dan adik-adiknya yang melayan dan merai tetamu yang tiba. Trajisnya kerana mereka dalam rangka kunjungan ke Perlis. Menerima jemputan kenduri dari senior yang membawa usrah mereka. Takdir Tuhan mengatasi rupa-rupanya orang yang ingin ditemui telah menemui Ilahi dalam satu kemalangan bersama ibubapa dan jirannya.

Hari ini bila menatap dada akhbar baru saya temui ceritanya. Kebetulan rumah pengantin perempuan terletak tidak jauh dari rumah mertua saya. Saya tidak dapat membayangkan jika peristiwa manis yang baru dikecapi beberapa jam lalu setelah dijabkabulkan akhirnya bertukar menjadi sedih dan sayu. Bait-bait memuji pengantin berganti dengan suara tahlil dan zikir.

Pagi tadi juga menerima panggilan dari 'Ammar. Rupanya arwah adalah juga merupakan kenalannya dan mereka sempat bertemu dalam satu perhimpunan pelajar tahun lepas semasa dia pulang bercuti.

Subhanallah...Dia yang menghidup dan mematikan manusia dalam masa yang sangat pantas.Cukuplah mati itu menjadi peringatan buat kita. Saya juga menerima e mail dari sahabat di Perlis. Rupanya arwah pengantin lelaki baru beberapa bulan bertugas di Uitm, Arau. Kata orang kalau sudah jodoh memang tidak kemana. Maka mereka memang ada jodoh tetapi sudah pasti Allah lebih mengetahui hikmah yang tersirat disebalik tragidi ini.

Berat mata memandang sudah pasti berat lagi bahu yang memikul. Namun saya percaya dan berdoa agar si isteri yang ditinggalkan dapat menerima ketentuan Allah ini dengan penuh sabar dan redha. Mudah-mudahan Allah akan membalas kesabaran itu dengan ganjaran yang sebaik-baiknya.Dia tidak akan menguji kita melainkan dengan bebanan yang mampu kita tanggung. Al Fatihah

Teh Afifah Shahirah adalah isteri kepada Allahyarham Mohd Ariff Abdul Kadir yang meninggal dunia bersama-sama ibu, bapa dan rakannya dalam satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah kereta dan bas di kilometer 7, Jalan Kangar- Padang Besar. Kejadian berlaku kira-kira empat sejam selepas mereka berdua diijabkabulkan. Al- Fatihah.

Thursday, December 10, 2009

Atap Genting Atap Rembia

Entah kenapa memang sudah tersurat yang kehidupan saya akan sentiasa dikelilingi kanak-kanak. Meskipun saya mempunyai adik beradik yang ramai tetapi kerana dibesarkan oleh tok dan wan di Kedah maka masa saya kecil saya selalu kesepian. Bila berkahwin saya memang  bercita-cita ingin mempunyai anak yang ramai sebagai mengganti masa kecil saya yang penuh kesepian itu.  Tanpa disengajakan saya terlibat dengan dunia pra sekolah walaupun saya tidak pernah menulis dalam kad 001 saya ingin menjadi guru tadika. Manusia merancang dan Allah menentukan. Saya memang lari jauh dari bidang yang saya khususi tetapi bidang yang saya ceburi sekarang ini sangat releven sampai bila-bila. Jika dulu saya mengikuti berbagai kursus untuk melengkapkan ilmu pendidikan awal kanak-kanak dan kemudian dapat saya adaptasikan untuk mendidik anak-anak saya sendiri. Kini tumpuan saya sudah pasti beralih kepada Zaffran, cucu sulung kami.

Oh..dunia tak kan ceria jika dipenuhi orang dewasa yang sentiasa serius dan fokus sahaja kerjanya. Dunia anak kecil memang penuh dengan keceriaan yang sudah pasti mampu merubah dan melarikan kita sebentar dari segala masalah yang membelenggu fikiran.

Bila memikirkan pertambahan ahli keluarga saya dan suami selalu melihat keliling. Merenung masih adakah ruang dan wang untuk membesarkan rumah kami yang comel ini. Tahun demi tahun barangkali ahli keluarga baru akan  bertambah tetapi ruang masih begitu juga. Kalau kita mendaftar premis tadika ke JPN mereka akan melihat ruang lantai samada cukup atau tidak untuk menampong bilangan kanak-kanak.

Sesekali timbul juga perbincangan kenapa rumah yang besar -besar selalu sunyi sepi sedangkan ruang yang besar itu sangat sesuai untuk menghuni ahli keluarga yang ramai. Sebaliknya rumah yang kecil dan comel lote riuh rendah, gegak gempita kerana ramainya penghuni dan isi rumah.


Hm...apa-pa pun saya tetap bersyukur kerana masih ada tempat berlindung dan menikmati limpahan kebahagian membesarkan anak-anak dalam rumah yang termampu dibeli suami. Jika disuruh memilih rumah lain insyaallah  saya tetap ingin menghabiskan sisa usia saya di rumah ini. Laungan azan dari menara masjid Bertam dan suara ustaz memberi kuliah saban waktu jelas membantu saya mengingatkan diri bahawa ada ruamh lain yang lebih perlu saya kejar di alam sana. Sudah pasti saya sangat inginkan sebuah rumah di pinggir syurga bersama semua yang saya sayang dan sentiasa dekat di hati.Jadi rumah comel yang ada di dunia ini hanyalah  pinjaman dan sementara sahaja.

Wednesday, December 9, 2009

Selembar Benang 1



Pengalaman pertama menaiki kapalterbang. Penang ke KLIA dengan MAS. KLIA ke Hong Kong dengan Cathay Pacific. Bertukar kapal terbang ke Teipei. Di Hong Kong Airport inilah abang 'Ammar terpaksa bermalam bersama ribuan penumpang yang tidak dapat terbang kerana taufan dalam bulan Februari lalu. Bila melihat cantk dan bersihnya tempat orang saya selalu bertanya kenapa kita tidak dapat mendidik diri menjadi seperti mereka?




25th November 2009: 
Kami menginap di Chientan Youth Activity Centre selama berada di Taiwan. Meskipun ada anggota rombongan dipecahkan kepada 5 buah kawasan lain mengikut topic yang telah diberi terlebih dahulu

Dicelah Kehidupan




Bagi sesetengah orang hujung tahun adalah masa yang paling seronok kerana dapat bercuti panjang dan membawa anak-anak ke sana sini menjelajah negeri dan negara. Manakala bagi sesetengah orang pula hujung tahun juga adalah masa yang paling sibuk. Kedudukan kewangan juga agak kritikal bila menjelang hujung tahun. Jika ada ramai anak-anak yang akan naik sekolah, memang menung juga ibubapa mencongak dan mengira itu dan ini. Belum lagi diambil kira bila terpaksa membuat perjalanan untuk hal-hal keluarga, anak-anak ingin menyertai kem cuti sekolah dan segala macam aktiviti mengisi cuti sekolah.





Sebagai ibubapa yang meletakkan belanja untuk pendidikan anak-anak di tempat paling utama , sudah pasti kita kena pandai menyimpan dan menabung sepanjang tahun agar dapat melangsaikan yuran dan peralatan sekolah anak-anak. Sudah pasti kita tidak ingin nama anak dipanggil setiap kali guru masuk kelas kerana lambat melangsai yuran sekolah, Pibg dan asrama. Tambah sadis kalau guru berkata" Ayah kamu gaji sampai $$$$ tak kan nak bayar yuran anak pun tak mampu". Akan melelehlah airmata ibu bila anak melapurkan lewat telefon awam. Alahai....kalaulah ada gaji sendiri mahu sahaja segera dibayar demi menjaga airmuka anak yang sudah pasti berdebar kencang setiap kali menatap wajah guru kelasnya. Sepatutnya guru kena menggantikan perkataan  tak mampu kepada tak sempat .Barulah naik sikit self esteem anak sebab dia memang tahu yang ayahnya memang sibuk. Sampaikan nak bayar segala bil pun  ayah dia hanya menggunakan khidmat Maybank 2 U aja. Kalau nak bayar yuran sekolah kena pula ke bank, ambil nombor tunggu giliran barulah dapat diproses bank slip yang sekolah bekalkan.




Nampak gayanya jadi ibu zaman ini kena jadi orang yang  serba tahu. Bukan setakad tahu mengurus rumahtangga tetapi tahu juga arah jalan dan dimana letaknya  tempat membayar segala macam bil. Jadi di belakang seorang lelaki yang berjaya ada seorang isteri yang membantu menguruskan kehidupannya. Cuma sesekali isteri pun ingin bebas sekejab dari segala tanggungjawab ini kerana tugas suri rumah tangga  memang sudah termaktub tiada cuti rehat 14 hari setahun seperti yang dinikmati orang yang bertugas secara resmi. Yang pasti  ada mungkin cuti bersalin 44 hari ataupun cuti kecemasan bila dia sendiri sudah tak mampu bangun untuk meneruskan tugas. Jadi di hujung tahun ini marilah membuat refleksi diri. Merenung hari-hari semalam yang berlalu dan segala nikmat yang kita kecapi hari ini. Adakah ini hasil penat lelah kita sendiri atau ada orang -orang yang menyokong dan membantu memudahkan kehidupan kita. Setiap kita adalah ibarat batu-bata sebuah bangunan, saling sokong menyokong untuk saling kuat menguatkan. Janganlah mendabik dada kejayaan kita hari ini adalah hasil usaha kita sendiri, kita di tempat kita hari ini kerana doa juga sokongan moral dari wira-wira yang tidak dinobatkan  di belakang kita.Yang sanggup melepaskan peluang kerjaya demi untuk memberi yang terbaik untuk keluarga dan rumahtangganya. Mereka ini perlu diberi due respect walaupun tidak pernah bersuara atau meminta-minta.

Monday, November 30, 2009

Hari Merai



Sudah menjadi tradisi rumah di Titi Gajah akan meriah dengan kedatangan tetamu jauh dan dekat. Beraya sambil menjalinkan silaturrahim. Sudah pasti selaku tuan rumah maka akan berbincang menu yang akan disajikan. Laksa 7kg memang sudah lama luak, jadi untuk raya kedua kami memutuskan untuk memasak bihun sup. daging korban yang dibawa pulang segera diproses bagi membolehkan segera direbus dan dijadikan hidangan hari raya kedua ini. Bantuan tenaga tambahan membantu mempercepatkan tugas memasak. Bila sudah letih memasak biasanya tukang masak takat ambik bau sahaja, dah hilang selera nak makan walaupun aroma sup sangat menggetar perasaan.



B

Siap memasak perlu pula memastikan rumah siap berkemas agar sedap mata memandang. Ketika ini anak-anak saudara yang sudah remaja menjadi skuad bantuan. Jadi bila tetamu datang dapatlah diraikan dengan hati yang puas dan tidak terkocoh-kacah lagi. Jadi kata kuncinya di sini. Buat persedian awal dan dapatkan tenaga sokongan. Ini yang bestnya bila berbaik denagn jiran, buat sahaja satu talian hayat insyaallah adalah yang datang menghulur pertolongan.

Di hari yang sama juga Zaffran yang diaqiqahkan hari itu, memang buat hal betul. Malam  dah lah asyik terjaga siang asyik nak paksa abahnya dokong. Kesian abah! Mungkin dia rimas kerana ramai sangat  orang kat rumah neneknya. Lihatlah kat belakang tu, bukan main bersepah lagi. Biasalah kan! Kalau nak mudah order saja dari caterer tapi keseronokan memasak tak dapat dirasai dan anak-anak pun tidak dibiasakan supaya ringan tulang dan belajar menyumbang tenaga. Bila jam sudah menunjuk ke angka 11 malam , masing-masing sudah keletihan. Walaupun belum siap berkemas tetapi badan yang letih dan mata yang sudah tak sanggup dibuka membuatkan kami semua segera mencari tempat untuk merebahkan badan. Mudah-mudahan esok masih ada.



Friday, November 27, 2009

Salam Aidil Adha






Saya dengan segala rendah hati memohon ampun maaf dari semua pengunjung blog. Bumi mana tak ditimpa hujan. Kali ini hari raya tetap akan disambut walaupun tidak semua anak-anak saya dapat bersama. Sudah menjadi tradisi kami sekeluarga tetap akan beraya di rumah emak/abah. Semalam kak lang sudah mengetuai sepupu-sepupunya membantu  mak tok menyedia hidangan utama . Ketupat palas dan ayam siat mak tok. Alhamdulillah, ada juga yang belum bekerja yang dapat membantu jika tidak nampak gayanya sayalah yang kena memikul tugas itu. Waktu muda-muda dulu memang macam suka bila boleh membantu emak membeli belah di Pasr Chow Kit. Sekarang dah jadi malas nak beratur panjang bila nak membayar dan paling tak berkenan melihat anak muda yang sedang hangat berpacaran  di shopping mall.  .

Tahun ini kurban akan dilaksanakan pada hari Sabtu. Aqiqah Zaffran juga akan dibuat di hari yang sama. nampaknya kalut betul raya tahun ni.Begitulah hidup kadang sibuk, kadang tidak. Sebab itu hadis Nabi SAW tentang kepentingan menjaga 5 perkara dalam hidup adalah sangat releven sekali.

Entri ini ditaip ketika masa senggang menanti kalau ada tamu yang tiba. Laksa Teluk Kecai 7kg dah hampir surut kuahnya. Ketupat 1 gantang pun dah banyak yang luak. Keluarga besar mak tok memang kaki makan.  Apa dijamu semuanya selesai.....hm tu yang bestnya...tak payah fikir  nak simpan dan recycle. Tambahan pula peti ais yang diangkat naik ke atas rumah semasa banjir baru ini masih belum dibawa turun.

Namun jauh di sudut hati masih tersimpan ingatan yang paling dalam pada anak-anak yang jauh di bumi orang. Meskipun raya  ini tidak semeriah Aidil Fitri namun raya tetap raya. Bila menghirup kuah laksa terbayang wajah-wajah yang menjadi peminat laksa sehingga ke tahap hantu laksa. Untuk mendapat yang hebat-hebat kena berkorban banyak benda yang kecil-kecil.

"Selamat Hari Raya Aidil Adha"

Wednesday, November 25, 2009

Detik Yang Berlalu



Mudahnya zaman ini. Maklumat semua di hujung jari. Jari jemari memudahkan dan jari jemari juga memusnahkan hidup. Saya tidak perlu menunggu Harith menalipon atau mengirim mesej. Jika tahu kapalterbang apa dan tarikhnya  kita sudah boleh memeriksa dari internet. Samada penerbangan itu sudah tiba atau belum. Alhamdulillah, maklumat yang ada membuatkan hati saya senang dan tidak perlu menunggu telifon berdering untuk mendengar khabar Harith. Namun gurunya ada mengirim mesej untuk saya.



Hari ini seusai solat subuh saya segera mencari blog saya satu lagi. Sudah pasti koleksi lebaran dan menu raya yang saya simpan di situ memudahkan saya membuat rujukan. Insyaallah, raya kedua merupakan hari paling sibuk bagi kami dan keluarga besar emak/abah. Selesai subuh kami akan menumbang seekor lembu, memasak pula untuk aqiqah Zaffran dan petang pula memasak bihun sup untuk tetamu istimewa yang akan tiba selepas asar. Saya yang selalu berlagak menjadi Event Manager sudah mengagihkan tugas kepada kak lang yang masih setia menjadi PA saya. Jika tak pandai mengagih tugas sudah pasti hati tak senang kerana banyak benda di dalam kepala yang difikir dan mesti disegerakan. Bila sudah tak mampu hanyut dalam fikiran yang tak berkesudahan saya akan mencapai buku dan membaca untuk lari sekejap dari dunia nyata. Bagi saya membaca itu terapi minda. Kita tidak boleh terlalu serius dalam hidup. Ada masa kita perlu juga membaca yang ringan dan yang humor agar kita tidak melihat hidup ini terlalu keras dan kejang. Saya gembira bila tabiat arwah bapa ini sudah diwarisi anak-anak. Selebelum berlepas saya sempat berpesan kepada Harith "Jangan lupa singgah Borders cari buku untuk baca dalam flight.Tak kan larat nak tengok movies saja kan!". Dia mengangguk dan tersenyum pada bang cunya penuh makna. Hm...adalah tu yang depa rahsiakan!!!Remaja...mereka dengan kita kan berbeza!!!.

Tuesday, November 24, 2009

Perjalanan Yang Indah



Setelah berhari bermalam terkejar ke sana ke sini. Pagi tadi alhamdulillah Harith dan rombongannya telah selamat berlepas. Seawal jam tujuh  pagi kami sudah meninggalkan  rumah untuk mengelak keadaan tak dijangka di Jambatan .Semalam bang cik  bagi tahu ada pelancong British tertinggal penerbangan kerana Jambatan  ditutup untuk larian Jambatan pada Ahad lalu.  Seronoknya bila tiba awal, namun puas pulak menunggu guru pengiring yang agak lambat tiba. Berdebar juga bila guru yang ditunggu belum lagi muncul. Kami  yang sudah serik terperangkap di atas Jambatan semasa menghantar  'Ammar tempoh hari memang tidak berani mengambil risiko. Biar awal supaya tidak kelam kabut. Namun manusia merancang Allah jua menentukan.



Saya percaya Teacher dia memang sukar meninggalkan rumah dan anak-anak yang masih kecil. Segala peralatan untuk Expo pun ada bersamanya. Saya yang mengatur dan mengemas barang Harith pun puas bising itu dan ini. Dia pun bila disuruh buat itu dan ini sudah merungut "Harith dah pening ni". Dan apa-apa pun alhamdulillah mereka semua sedang merentas Laut China Selatan menuju ke Hong Kong sebelum bertukar kapal terbang ke Teipei.. Pengetua, PK dan guru-gurunya ramai menghantar pemergian mereka. Saya amat terharu bila gurunya berbisik ke telinga Harith "Do the best and bring the good name of Al Irsyad". Saya lihat airmata sudah bergenang di tubir mata Harith. Semuga pengalaman yang bakal  ditimba akan mematangkan diri dan membuka minda  untuk lebih berjaya di hari mendatang. Saya tidak bimbang melepaskan dia  cuma yang saya risaukan dia sukar bangun untuk solat Subuh kerana waktu subuh seawal 5.00 pagi dan berakahir pada jam 6.15 pagi. Hanya saya mampu berdoa semuga Allah mempermudahkan urusan solat dan makan minum  selama mereka di sana. .

Saturday, November 21, 2009

Sejuta Harapan,



Sudah lama ingin menaip tentang Sony Nature Camp di FRIM. Namun hari ini baru betul-betul dapat duduk depan PC. Camp yang berlangsung selama 3 hari itu sangat bermanfaat bagi anak saya. Harith . saya pasti peserta dari sekolah lain juga turut memberi komen yang sama. Kalah dan menang memang adat bertanding. Tetapi yang paling penting ialah pendedahan kepada fotografi dan Living With Nature.



Tengoklah team yang bertanding dengan mereka. Kebanyakannya dari KL dan Selangor. Bila Irsyad dapat masuk pusingan akhir ini saya sudah teruja. Suami pula bermurah hati membenarkan Harith membawa Lumixnya. Seperkara yang saya suka ialah bila Harith berkata"Kalau nak ambik gambar yang eluk tak semestinya dari kamera yang mahal dan canggih-canggih". Melihat foto-foto yang diambilnya saya percaya jika dia mengekalkan minatnya untuk terus meneroka bidang dan ilmu ini insyaallah dia mampu melahirkan foto-foto yang berkualiti di masa hadapan. Insyaallah, saya menanti foto-foto menarik dari Education Expo yang akan berlangsung di Taiwan mulai 26hb hingga 30hb November ini.