Tuesday, January 5, 2010

Komuniti Saya



Sudah jadi tradisi setiap datang Muharam sudah pasti emak dan nenek pasti sibuk mengacau bubur asyura. Walaupun versinya berbeda mengikut tempat tetapi rohnya tetap sama. Bergotong royong sambil merapatkan ukhuwah sambil mengenang kembali sejarah kewujudan bubur asyura.  Di masjid Bertam juga sudah pasti tidak terkecuali. Muslimin dan muslimat bergotong royong mengacau 3 kawah bubur yang kemudiannya diagih-agihkan. Sambil menunggu bubur masak sempat juga menjamu selera dengan makan tengahari yang sungguh enak yang disediakan Bang Hassan dari Kak Rubee Catering.  Gulai ikan kering, tamban kering, sambal belacan dan jantung pisang rebus. Suasana mesra kejiranan ahli jamaah masjid menjadikan siapa yang tinggal di sini keberatan untuk berpindah ke tempat lain.


Malam sebelumnya kami mendengar kuliah maghrib yang disampaikan Nazrey Johani, x Raihan. Beliau yang sedang mengumpul dana untuk menubuhkan Maahad Tahfiz di Ranau, Sabah berjaya mengutip derma kilat RM3000 malam itu. Suaranya yang lunak begitu menyentuh hati dengan lagu-lagunya yang sangat syahdu. Tidak terasa hari sudah menginjak ke tengah malam bila kami dua beranak meninggalkan perkarangan masjid.



Tengoklah wajah ceria jiran-jiran saya yang bertungkus lumus menjayakan aktiviti masjid. Bila saya datang mereka semua sibuk menyuruh saya mengambil gambar mereka. Kebetulan hari Ahad lepas hari ibubapa menghantar anak-anak balik ke asrama jadi kehadiran tidaklah seramai tahun lepas. Namun dengan bantuan bapa-bapa dapatlah juga 3 kawah dikacau dalam masa 4 jam. Insyaallah, tahun depan kita kacau lagi!Bila pula nak buat projek mengacau dodol?

1 comment:

Ibu Alin said...

lapag bubog sora..lama tak makan