Friday, July 31, 2009

Telah Tiba Saat Itu



Bumi terus akan berputar. Silih berganti dan berpasang-pasangan. Malam dan siang, muda dan tua, hidup dan mati. Innalillahiwainnaialaihirojiun. dari Allah dia datang dan kepadaNyalah kita kembali. Sekali lagi Allah telah menetapkan ketentuanNya. Adun Permatang Pasir YB Dato Hj Hamdan Hj Abd Rahman telah kembali ke rahmatullah. Semuga Allah mengurniakan tempat kembali yang baik untuknya di akhirat kelak.
Ya Allah! catitkanlah di sisiMu dia dari kalangan yang baik-baik dan jadikanlah amalan catatannya dari golongan yang ditingkat tinggi dan gantikanlah apa yang baik untuk ahli keluarganya yang tinggal, dan janganlah Engkau haramkan kami dari pahalanya dan jangan Engkau memfitnahi kami sesudah pemergiannya."

Wednesday, July 29, 2009

Selamat Berdarmawisata Grup Uthara







Tazkirah Jumaat:

Peruntukkan dalam jadual perjalanan untuk bersolat 2 rakaat sebelum bermusafir. rakaat pertama dibacakan surah Al kafirun dan rakaat kedua Al ikhlas. Sudah solat bacalah ayatul Kursi kerana ada hadis mengatakan sesiapa membaca ayatul kursi tidak akan ditimpa apa-apa yang dibencinya sehingga ia kembali ke rumah.Dan disudahi dengan surah Al Quraish.
Setelah itu bacalah doa ini:

YA ALLAH, YA TUHANKU AKU MEMOHON BANTUANMU DAN KEPADAMULAH KAMI BERSERAH DIRI.
YA ALLAH YA TUHANKU PERMUDAHKANLAH YANG SUSAH DARI URUSANMU BUKAKALAH JALAN YANG MENGHALANG DALAM PEJALANAN INI KURNIAKANLAH SEGALA KEBAIKAN BUATKU LEBIH BANYAK DARI APA YANG AKU PINTA DARIMU.JAUHILAH AKU DARI SEGALA KEBURUKAN.
YA TUHANKU LAPANGKANLAH DADAKU, PERMUDAHKANLAH URUSANKU
YA ALLAH YA TUHANKU SESEUNGGUHNYA AKU MEMOHON PERLINDUNGANMMU AKU SERAHKAN KEPADAMU DIRIKU, AGAMAKU KELUARGAKU KERABATKU DAN SEGALA APA YG KAU KURNIAKAN BUAT KU DAN BUAT MEREKA DARI SEGALA URUSAN AKHIRAT MAHUPUN DUNIA MAKA LINDUNGILAH KAMI SEMUA SEGALA BAHAYA DUHAI TUHAN MAHA PEMURAH.

DI SUDAHI DENGAN TASBIH DAN SOLAWAT

RASULULLAH MENGUCAPKAN KETIKA BANGUN DARI BERDOA TADI DGN UCAPAN:

YA ALALH YA TUHANKU AKU HADAPKAN WAJAHKU KE WAJAHMU, DAN DENGANMU PULA AKU BERLINDUNG DIRI, YA ALLAH YA TUHANKU CUKUPLAH APA YG MERUNGSINGKAN AKU DAN APA YG TIDAK KU RUNGSINGKAN. YA ALLAH YA TUHANKU TAMBAHILAH AKU DGN SIFAT TAQWA AMPUNILAH SEGALA DOSAKU DAN DORONGKAN AKU UNTUK MEMBUAT SEGALA KEBAIKAN SETIAP AKU MENGHADAPINYA.

*DOA RASULULLAH SAW INI DIPETIK DARI AL AZKAR ANNAWAWI

"berjalan-jalanlah melihat alam kerana di dalamnya ada tanda-tanda kebesaran Allah"

Bila Si Bayi Melihat Dunia

Wah ! Ibu report Zaffran dah pandai panjat meja TV ya!. Hai..kan dah satu tahun macam-macam la saya boleh buat. Jangan tak tahu!


Supaya saya terus berkembang bacakanlah buku untuk saya. Saya dengar dan saya rakamkan.
Nyanyikan lagu kanak-kanak yang lembut untuk saya.
Berikan arahan yang mudah-mudah. Baru saya boleh ikut.


Bercakap dengan saya seperti ibu bercakap dengan orang dewasa.
Izinkan saya meneroka dalam rumah dengan diawasi abah atau ibu.

Berikan saya memegang buku dan majalah yang berwarna-warni.
Sediakan bola untuk saya baling dan saya ambil semula


Saya dah faham arahan mudah...
Saya sudah pandai guna sudu dan sikat...dan hp ibu(jangan biarkan...punah nnti, jangan marah)
Saya boleh keluar dan masukkan benda.

Bawalah saya keluar meneroka. Biarkan saya memijak rumput, pasir pantai dan jalan bertar.
Jangan bercakap dengan bahasa keanak-anakan dengan saya.

Saya boleh guna ibu jari dan jari telunjuk untuk kutip barang kecil.
Saya suka lihat gambar dan tunjukkan apa yang saya suka dalam gambar tu.
Ibu cepat beli poster!
Saya boleh keluarkan perkataan ciptaan sendiri...a..ba...h...ma..maa..


Saya dah boleh jalan sendiri
Saya suka main tangga...naik dan turun tu..masalah la sikit.



"Saya akan sentiasa hargai jika ibu dan abah buat semua ini untuk saya."


Rencam

Pulang menjenguk kampong. Mengait rambutan sementara belum mereput di hujung julai. Kak lang masih setia menemani mak tok dan wan. Kesempatan membawa abah dan mak menziarahi saudara mara yang sakit . Dari Kuala Pai hingglah ke Jalan Pegawai. Jalan sakan!!

Petangnya abah asyik bertanya suami bagaimana nak solat witir. Sedih juga melihat kesungguhannya. Maklumlah dah berpuluh tahun melakukannya tiba-tiba dia sedar dia sudah lupa dan tak ingat langsung tatacaranya. Maklumlah sekarang sudah masuk Syaaban sudah pasti jika umur panjang tak lama lagi akan menyambut Ramadhan. Malam-malam penuh barakah sudah pasti tiada serinya jika tak diisi dengan solat tarawih dan diakhiri witir. Rupanya bila kita sudah biasa melakukan sesuatu amal semasa muda bila dah tua begini dia akan datang secara natural. Bayangkanlah jika kita tak biasa dan menunggu waktu tua sudah pasti sukar untuk membuatnya.

Dapat panggilan dari kolej bang cik. Sabtu ada Hari Akademik. Puas mencari tempat tidur berbayar kat area Morib dan Bagan Lalang. Rupanya orang KL masih pergi mencari pantai dan rimba di hujung minggu . Jawapannya sama "Maaf cik dah penuh".Saja-saja nak bawa bang cik keluar rehatkan minda sambil tuning dan align mana-mana yang tak berapa kena. Hopefully dapat rechargekan dia. Ada 8 bulan lagi untuk dia menentukan nasib dan arah tuju. Kak Lah dah lepas cuma menunggu surat untuk terbang ke mana pula.
Minggu ini juga kena ke sekolah bang cu. Hari Profile...jumpa cikgulah bagi subjek yang perlukan pecutan lebih kuat. Staf-staf Uitm patut kena kuarantin di rumah kerana wabak H1N1 tu..tetapi since perintah ditarik balik nampak gayanya suami saya perlu berada di pejabat menyiapkan soalan peperiksaan. Kalau gitu kena memandu ke 0.1km Lebuhraya PLUS sendirian.


Cik Nad pula mengalami kesakitan sejak minggu lalu. Semalam langsung tak dapat tidur. Bila di scan ada bengkak di dalam kepalanya. Kesian pak cik Bad ! Mengurus hal sekolah, hal anak-anak dan hal mak mertua yang baru menjadi balu. Berat mata memandang sudah pasti berat lagi bahu memikul. Bila timbul keadaan begini mak juga akan terkesan. Bagi kami yang jauh sekadar menghimpun doa di pohon harapan. Insyaallah 4hb Ogos memang ada temujanji dengan Neuro di HUSM. Muga Allah mempermudahkan segala urusan.

Tuesday, July 28, 2009

Nur Tuhan






Tak terucap kepiluan ini
titik hitam yang menghijap hati
hitung dosa saat pergi tak kan kembali
sisa umur tak undur lagi



perjalanan dalam kehidupan
Bukan jauh ketentuan datang
Mungkin esuk takdir tak dapat dihalang
Untung nasib digengaman Tuhan




Isi alam puspawarna
bukti Tuhan Maha Kuasa
kemanakah arah tuju
hukum Tuhan pasti berlaku









bukan tempat lalai leka
di dunia bakti ditempah
tanam budi luhur muni
di akhirat tempat kekal abadi

himpun doa di pohon harapan
tempat rahmat petunjuk pimpinan
ikhtiar usaha muga dengan Nur Tuhan
suluh terang jalan kebahagiaan.


Thursday, July 23, 2009

Hujan Emas




Memang betul kata perpatah.





Setelah berhari-hari berhujan emas di tempat orang akhirnya saya dapat memulas kunci pintu rumah sendiri. Leganya rasa. Rindunya rumah It is good everywhere, but home is better. Awal pagi saya sudah berkemas, suami menggiat"Ai..ni sungguh ka nak balik rumah?" "Eh..mestilah saya dah dapat sindrom orang tua...rindu rumah sendiri". Selepas suami dan teamnya berlepas ke KHT untuk sesi "the real world" saya memandu pulang. Sengaja mengambil jalan kampong konon sudah bosan membayar tol. Setiba di rumah mel penuh di peti. Ada poskad birthday abu dari 'Ammar , kad poslaju dari Kota Bharu dan segala macam junk mail dan flyer yang depa main sumbat aja. Surat kabar pula bersepah di laman rumah. Hai...mamak ni main baling aja. Tapi silap saya juga tak bagi tahu dia. . Sambil menunggu cucian di mesin saya membuka NST. Baca sikit-sikit sahaja kerana hati ni bagai mencari sesuatu.

Wah...Harith menang peraduan father's day . Dia memang bercita -cita nak hadiahkan cincin atau apa barangan Habib itu untuk hari jadi abunya. Petang nanti memang saya berjanji untuk bertemunya di asrama. Sudah pasti dia teruja amat.Muga-muga kekeciwaan kerana tidak dapat ke Astro mengambil tiket melihat MU membuat latihan di Bukit Jalil akan sedikit terubat. Abunya yang sibuk di site segera dimaklumkan ."Macam-macam anak -anak ni "katanya. Sebelum tidur malam tadi Harith melaporkan dia terpilih untuk team bola bawah 14 tahun sekolahnya. " Cikgu siap minta I/C lagi. Nak pastikan umur " IC Harith yang asal hilang bersama dompetnya semasa cuti semester lepas .Saya mungkin tak sempat mengambil IC baru di JPN tetapi yang sementara pun okay gamaknya. Walau apa pun saya kena pergi segera ke JPN untuk membolehkan Harith menuntut hadiah Habib tu! Hm...rezeki hari jadi orang ...lah kan!.

Dad You are My Habib (my Love)

He cycled 30km everyday to attend school. The first one from his village to to study engineering in England in 1977. A good reader and a good listener. He is there to answer questions and help to overcome my problems. He never bored to impart knowledge. He loved his parents most. .When grandpa was bedridden he travelled every alternate days to take care of his dad. The best man is the one who honour their parents. He will scolded when I was naughty but will advised when I was wrong..He created jokes to cheer me up when my examination result was bad. or my favourite football team lost.The painful life prepared him to face challenges in life. The determination help him achieve his ambition. So Abu is my Habib (my love).
Posted By: Harith Muhammad

Wednesday, July 22, 2009

Bukan Sekadar Fenomena Alam


Menjenguk ke luar tingkap. Matahari berwarna kelabu. Langit masih diselubungi jerubu. Kalau ada gambar x ray atau negetif filem mungkin boleh nampak gerhana matahari. Jari ligat mencari waktu bermula dan berakhir. Muga-muga masih ada peluang buat solat gerhana. Maklumat dari Falaq online. Sentuhan pertama: 8.29 pagi, waktu puncak: 9.07 pagi dan waktu tamat : 9.48 pagi. Kalau dari info yang ada ini adalah gerhana terpanjang untuk abad ini. Bagi orang yang beriman ini adalah salah satu tanda kebesaran Allah. Setiap planet bergerak di atas paksi dan dalam orbit masing-masing. Cuma sesekali Allah ingin menunjukkan Dia boleh melakukan apa saja sebagai bukti kekuasaanNya. Jika planet itu dibiarkan sendiri tanpa pengawasan Allah sudah pasti berlaku pergeseran dan perlanggaran. Maka kita disunatkan bersolat sunat gerhana matahari 2 rakaat sebagai manifestasi iman kita. Solatnya ada 2 rukuk dalam satu rakaat dan diperpanjangkan rukuk dan sujud untuk membaca tasbih memuji Allah. Jika dilakukan berjamaah disunatkan pula membaca khutbah. Bagi orang yang beriman kejadian yang jarang-jarang berlaku ini akan menambahkan lagi iman dan menguatkan lagi kepercayaan mereka..Mereka memandang .Bukan dengan pandangan biasa-biasa.

Tuesday, July 21, 2009

Berlari Di Celah Bilah Waktu




Usai solat subuh saya sudah di belakang stering menghala ke Irsyad. Harith yang moody saja diam tak banyak cakap. Saya buat-buat tak faham. Anak bongsulah katakan. Ada masa saya manjakan tapi bab ponteng sekolah memang minta maaf banyak-banyak. Saya tahu dia penat dua hari berturut-turut menjadi hos melayan pelajar dari Besut . Mujurlah rumah tak jauh sangat boleh juga saya ulang hantar dan ambil dari asrama. Saya tahu dia tak sempat nak bermesra dengan bangcu. Tambahan pula bang cu dapat cuti sampai 4 hari. Tapi saya sejukkan hati dia insyallah nanti nak ke KMB bang cu tak dapat ikut pun! Dia diam saja. Saya yang tak sempat memasak sarapan kerana terpaksa menghantar sebelum jam 7 pagi menawar untuk membeli kuih tetapi dia menolak. Akhirnya saya biarkan dia melayan perasaannya.

Balik ke rumah dapat panggilan dari bang cik pula. Minta saya carikan tempat untuk khidmat masyarakat kolejnya di awal puasa nanti. Otak ligat berfikir nak cari sekolah mana yang nak jadi tuan rumah pada waktu cuti dan bulan puasa pulak? Terbayang dua tiga nama dari kalangan teman kenalan dan sahabat JIM yang mungkin dapat membantu.

Tengah kalut-kalut kak lang pula minta resepi egg tart. Hai...jadi emak ni semua kena tahu rupanya. Saya memang sangat bersyukur diberi peluang Allah terlibat dalam JIM.Sudah biasa buat kerja last minute buat dalam keadaan tertekan semua rupanya jadi bahan tarbiyaah diri dalam mengharungi dunia sebenar. ,


Untuk mengusir sepi suami mengajak saya menginap di Summit. Selepas ke SP menghantar bang cu saya memandu ke sini. Dia yang jadi traineer kursus anjuran bekas studentnya terpaksa berada di sini beberapa hari. Sambil bersantai di bilik saya melihat mail dari yahoogroup saya. Tugasan yang menanti di hujung minggu ini. Sungguh banyak. Diri saya? Adakah saya bersedia menginfakkan diri dan masa saya untuk kelangsungan dakwah.? Insyaallah..saya berjanji untuk sentiasa bersedia. Sebelum tidur masuk SMS dari kak lang yang kini menetap di rumah emak "Kaki mak tok yang patah tu kena balut sampai Khamis minggu depan. jenuh nak jalan x bleh nk buka balut" Camna?????Janji saya.......?????

Sekadar Di Pinggiran

Saban hari bila keluar mengutip mel atau menyiram pokok sambil menghantar suami ke tempat kerja dengan pandangan saya pasti akan terfikir tentang kesudahan nasib charade aura ini. Emak bising suruh jualkan tetapi dengan lambakan kereta terpakai di pasaran berapa sangatlah harga akan ditawarkan. Memang banyak jasanya tetapi begitulah adat dunia bila ada yang baru sudah pasti yang lama akan terpinggir walaupun tidak dibuang langsung. Bila anak-anak pulang memang sangat diperlukan kereta ketiga. Alhamdulillah bila mengimbau perjalanan hidup ini memang banyak sangat nikmat yang Allah berikan. Cuma kita sentiasa alpa untuk mensyukurinya. Terkenang ketika balik ke Malaysia dulu, ada bapa saudara suami yang baik hati pinjamkan keretanya sampai kami mampu beli kereta sendiri. Zaman ketika tiada pembiayaan cara Islam semua kena dikumpul duit sedikit demi sedikit. Tambahan pula bila suami menetapkan tugas saya mendidik anak-anak sudah pasti kewangan agak terhad. Namun berkat kesabaran sekarang sudah mampu ada tiga buah kereta dan mampu membantu anak-anak yang mula bekerja mendapatkan kereta untuk mereka pula. Alhamdulillah ya Allah.

Monday, July 20, 2009

Monolog


Tiba-tiba hati saya jadi sangat sayu. Setelah beberapa hari sibuk ke sana ke sini mengurus hal anak-anak tiba-tiba hari ini rumah jadi sunyi bagaikan negeri dilanggar garuda. Suami sudah ke tempat kerja dan anak-anak sudah kembali ke sarang masing-masing. Hari ini hari Isra' Mi'raj. Saya berniat ingin berpuasa namun tak kesampaian. Bila tinggal sendiri berpuasa adalah sangat baik kerana selera makan pun sudah sangat berkurangan. Bila terjaga sudah hampir subuh. Aduh! Kenapalah boleh kalah dengan bantal. Biasanya belum jam 5 saya sudah terjaga sendiri. Apa yang pasti Allah tidak mengizinkan. Saya terdengar satu ceramah "Jika kita susah bangun untuk solat malam kerana dosa kita di siang hari" Astarfirullah hal azim! Apakah dosa yang saya lakukan semalam? Jika tidak pada Tuhan mungkin pada suami , anak-anak atau jiran tetangga. Sedihnya hati ini jika kerana itu saya tidak terjaga tadi. Ya Allah ! Janganlah Kau berpaling dari aku, janganlah Kau jadikan aku orang yang rugi. Saya bermonolog sendiri. Masihkah ada kesempatan ?

Sunday, July 19, 2009

Langkah Bermula

Sambil menyelam sambil minum air. Menyelusuri maya membawa saya ke laman yang mempamirkan nama kedai ini. Begitu mudah Allah mengatur rezeki untuk hambaNya. Dengan satu panggilan talipon dan satu pertemuan minggu lepas. Hari ini anak saya akan mula melangkah menjadi keluarga Arisya Home Bakery. Kedai yang sering saya kunjungi ketika melawat kak lang dan bang cik semasa di SMKAK dulu kini bakal jadi tempat kak lang mencari rezeki. Saya dan suami pesankan bukalah mata untuk memerhati dan menimba pengalaman kerja. Bukakan telinga bagi mendengar nasihat dan teguran dari majikan dan teman sekerja. Kurangkan bercakap kerana bila banyak bercakap banyak kesilapan yang bakal dilakukan.

Selamat menjalankan tugas. Ucapan tulus ikhlas dari ummi dan abu untuk kak lang. Terasa belum beberapa lama kak lang menduduki SPM. Begitu pantas masa berlalu. Kita ini bagaikan pelabuhan sepi menunggu kapal datang dan pergi saban waktu. Dari kejauhan pasti dititipkan rindu di angin lalu dan dipanjatkan doa di hening pagi semuga langkah hari ini adalah permulaan dunia kerjaya yang panjang. Untuk membina budaya kerja cemerlang perkara paling asas ialah mengenal potensi diri. Tahu apa yang boleh kita lakukan dan tahu apa yang kita tak tahu. Tidak malu bertanya jika tidak tahu dan tidak malu belajar walaupun perkara yang paling asas dari orang yang lebih dulu bekerja dari kita.


Saling berkongsi ilmu dan kemahiran. Apalah yang dikedekutkan. Ilmu dan tenaga itu hak Allah semuaNya. Bukankah ilmu yang bermanfaat boleh membantu menambah bekalan akhirat kita?
Ringan-ringankan tulang menolong mudah-mudahan Allah akan menolong kita di hari yang tiada pertolongan nanti. Banyakkan bercakap hal-hal yang positif sahaja. Setiap detik dan ketika sentiasa tanamkan semangat ingin meningkatkan kemahiran kerja dan prestasi diri. Orang yang berwawasan akan sentiasa bersikap cemerlang. Jika kita gagal memupuk wawasan diri sudah pasti kita akan mudah mengalah bila bertemu rintangan. Pekerja yang amanah akan sentiasa mencari jalan untuk mengatasi halangan dan tidak menganggap tempat ini sekadar tempat makan gaji sahaja.Sikap perlu sentiasa positif agar kerja itu menjadi ibadah.

Sebagai satu pasukan sudah pasti kita ada matlamat yang kena dicapai. Jadi banyaklah berbincang dan mencari kata sepakat dalam meningkatkan kualiti kerja. Rakan sekerja adalah orang yang paling hampir dengan kita. Mereka boleh menaik dan menjatuhkan kita. Jadilah individu yang disenangi. Banyaklah meniru akhlaq Rasulullah SAW dalam membina hubungan yang baik sesama rakan. Mukmin itu bersaudara.90% rezeki ada dalam bidang perniagaan.

Eh..macam bagi ceramah motivasi lah pulak! Apa-apa pun kak lang di sini langkah baru bermula. Sematkan di hati titipan pesanan ini jika ingin berjaya dalam bidang yang diceburi. Jika kita minat dengan kerjaya kita sudah pasti biar apa pun halangan kita akan teruskan perjalanan. Muslim yang berjaya itu sangat disukai Allah. Anggaplah ini sumbangan kecil kak lang untuk umat Islam mendapat produk halal. Menyedia makanan yang halal lagi bersih itu wajib. Apatah lagi makanan itu yang akan menjadi darah yang akan mengalir di tubuh manusia. Sumber yang halal menjadikan kita rajin dan gemar melakukan yang baik dan meninggalkan apa yang ditegah. Besar tanggungjawab tu, lang.

Saturday, July 18, 2009

Sambil Menyelam Minum Air


Seronoknya dapat balik Kedah. Bukan jauh pun sekadar 10 minit perjalanan sudah masuk ke Kedah. Destinasi yang dituju hanya sekadar 45 minit ke 1 jam perjalanan. Bergantung kepada kelajuan si pemandu. Namun yang pasti tidak boleh melebihi had yang ditetapkan. Siapa kena saman memang kena bayar sendiri. Tuan punya kereta hanya pinjamkan sahaja. Bila balik Kedah sudah pasti tidak mudah menepis keinginan menghirup kuah laksa Teluk Kechai. Kalau ada rezeki adalah...jika tak..hm...some other times masing-masing menenangkan hati.


Sambil menyudu laksa saya berkongsi cerita -cerita tentang laksa ini dengan kak lang. Ketika bulan puasa laksa ini sering dijadikan moreh di masjid Akar Peluru. Zaman itu plastik tak begitu luas penggunaannya jadi kalau nak bawa pulang kenalah dibawa dengan pinggan sekali. Insyallah kalau tak lupa sudah pasti esuk pagi atau malam pinggan itu akan dipulangkan ke masjid. Siapa berani mengambil barang masjid! Pada satu malam ada seorang makcik ni nak bawa balik laksa , nak ambil 2 pinggan malulah pulak katanya. Jadi dia tuang 2 pinggan laksa ke dalam jug air sirap yang sudah kering isinya. Kak Lang ketawa sampai tersedak-sedak..alahai..nostalgia. Ketika laksa berharga sepinggan 10 sen saya akan menabung setiap hari 5 sen supaya dapat membelinya bila pak cik laksa yang datang menaiki basikal datang ke rumah arwah tok wan. Sekarang laksa sudah sekilo RM10. Beli 2kg baru cukup untuk 4 orang makan. Maksudnya seorang 1/2 kg. Kak lang yang sudah berbulan-bulan tak pekena laksa memang pulun sakan. @ 2 hari 2 malam asyik kerjanya memanas kuah laksa. Ketika kecil mereka sering merebut kuah yang jernih dan hening. Jadi isi ikan yang pekat tu sering diubahsuai pula menjadi serunding ikan. Bila dimakan dengan roti memang sedap.

Bila sudah balik kampong kami mengambil kesempatan mengunjungi tok ngah Cikgu Norma yang sedang dalam tempoh eddahnya. Dia mengisi hari-harinya dengan membanyakkan solat dan membaca qura'an untuk dihadiahkan pahala kepada Pak Jamil yang meninggal 3 minggu lepas.

Sebelum pulang timbul idea memetik buah amra @ kedondong. Pokok yang rendah dan rendang ini sentiasa menjadi tumpuan anak-anak saya bila bertandang ke rumah ini. Ketika kecil selang 2-3 hari mereka pasti akan melencung ke situ mencari mangga, resberi dan amra. Tok ngah Norma yang rajin melayan pasti sibuk mencari plastik dan galah untuk mereka. Bila sudah penuh plastikdatang rancangan membuat jeruk pula. Mengupas dan membelahlah pula. Macam-macamlah kak lang ni!

Bila balik AS kami bagai burung terlepas dari sangkar. Sempat pula mengikut Cik Nad menghantar anaknya ke sebuah homestay untuk kem motivasi UPSR. Rumah yang asalnya dibina untuk diduduki sendiri bertukar menjadi homestay kerana terlalu besar untuk dihuni . Biliknya besar-besar dan lamannya cantik dan luas. Jika ingin kita boleh bersiar-siar menyusuri Sungai Kedah sambil memancing ikan .Jika ingin berbasikal menjelajah kampong pun boleh.
Malam itu kami menginap di rumah Cik Nat sambil berborak dan makan pulut durian. Cuma bila nak tidur barulah teringat ada orang yang menyambut hari jadi sendirian hari ini nun jauh di KM120.0 Sorry!!

Tuesday, July 14, 2009

Satu Angka Baru


Kata emak suamiku dilahirkan di malam Tuanku Sultan Kedah ditabalkan menjadi Sultan Kedah. Tahun lepas ketika rakyat Kedah merayakan Baginda memerintah Kedah selama 50 tahun kami turut menyambut hari lahirnya yang ke 50 tahun. Tahun ini hanya kami berdua di rumah. Anak-anak di sana sini mencari rezeki dan mengejar ilmu. Namun seperti kebiasaannya mereka akan mengirim kad, menalipon atau menulis di blog masing-masing. Ucapan yang biasa tetapi sangat bermakna bagi orang tua seperti kami. Saya percaya di usia ini suami saya sudah tidak teruja menyambut hari ulang tahun. Apalah makna kek sebesar talam atau beriani kambing sebagai meraikannya. Makan pun sudah belajar berpantang dan bercatu. Apalah makna kek dari Secret Recipe atau beriani dari Kayu Nasi Kandar jika paras gula dan uric asid jadi ukuran. Ya...bila bertambah usia bererti sedikit demi sedikit Allah mengambil semula nikmat hidup yang dipinjamkan selama ini. Tidur makin sukar nyenyak, mata makin kabur memandang, telinga makin berat mendengar...semuanya makin itu dan makin ini. Bukan itu yang dibimbangkan saya percaya kita semua makin risau isi kitab di bahu kita. Yang kanan atau yang kiri yang dipenuhi catatan? Hampir sebulan lagi kitab itu akan dibawa naik pada malam Nisfu Syaaban bagi diganti kitab catatan yang baru. Saya berdoa di hari ini untuk suami yang sangat dikasihi:

Ya Allah!
Jika Engkau izinkan hambamu ini bertemu 15 Julai tahun depan
Izinkan hambaMU ini, mulai hari ini lebih khusyuk dalam ibadahnya…
Timbangan dunia dan akhiratnya seimbang…dan jadikanlah aku penemannya di syurgaMU,
Sehingga hambamu bisa sempurna sebagai khalifahMu…
Dengan izinMu, Ya Allah.
Ameen

Jiwa Remaja

Berjalan-jalan menikmati pagi yang nyaman. Terserempak sekumpulan pelajar sekolah yang nampak gayanya tidak masuk ke sekolah. Berkumpul menghisap rokok di atas motor yang diisi minyak oleh mak bapak. Siapa yang berani menegur? Saya sekadar bertanya" Ai..tak masuk sekolah lagi ka...kan PK dok bersyarah dah tu?"" Tu...dok tunggu bagi habis dulu" jawab seseorang. "La...dengarlah mesti ada yang dia nak bagi tau..." tambah saya. "Bagi tau apa..beleter tak habis-habis" jawab mereka pula. "Pi..la..kesian kat mak pak...ingat kamu pi sekolah''pujuk saya. "Tak pa mak cik kami pi pun bukan cikgu peduli pun, depa jaga budak pandai-pandai saja"sambung mereka lagi sambil menghembus asap rokok. "Ni jangan dok isap rokok ,rosak kesihatan" kata saya sambil terus melangkah. "Tak..pa..klinik banyak mak cik!"
gelak mereka. Saya berlalu pergi dengan hati yang sebal. Hasrat hati nak menyedut udara nyaman tersedut pula asap dari nakotin anak-anak tu. Saya terfikir jika kita tidak dekati mereka siapa lagi? Merekalah asset kita di masa depan. Berbagai gejala sosial melibatkan mereka saban hari terpampang di dada akhbar. Siapakah ibu bapa mereka? Rasulullah mengajar kita supaya banyak-banyak berdoa memohon dijauhkan fitnah dunia. Anak-anak adalah cubaan Allah kepada kita. Mereka berbaju Melayu dan berkopiah tetapi tidak pun ke masjid solat Jumaat. Begitu juga pada bulan Ramadhan nanti, mereka melepak di taman permainan menunggu orang di masjid selesai rakaat ke 8. Mereka bukan orang lain.Mereka anak-anak kawan-kawan saya. Anak jiran-jiran saya juga. Jika ibu bapa mereka kurang berdoa marilah kita yang rajin berdoa tolong doakan mereka. Janganlah sempitkan doa kita sekadar untuk diri dan keluarga kita sahaja. Mohonlah kesejahteraan untuk muslimin dan muslimat seluruhnya. Muga sedikit sumbangan kita yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mampu merubah senario yang sangat menyakitkan mata dan menyesak dada ini.

Monday, July 13, 2009

Satu Perkongsian:TOT ABJZ

Alhamdulillah, program sehari ''Training of Trainers" Anda Bijak Jauhi Zina Zon Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) telah selamat diadakan pada 11 Julai 2009 di Dewan Zamrud 2, Hotel Seri Malaysia Kepala Batas, SPU. 56 orang peserta telah hadir dalam program ini.Program ini dianjurkan oleh Wanita JIM Pulau Pinang dan Raudhatus Sakinah dengan kerjasama J/K MMK Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Pulau Pinang, KRJ PP dan Wanita JIM SPU. Pihak Lembaga Pengurusan Induk Raudhatus Sakinah (LPIRS) yang diketuai oleh Ummi Rose, Cikgu Siti Aini, Kak Roha dan Kak Yus (Pengerusi RS Selangor) telah menjayakan program ini.Objektif program ini diadakan adalah untuk memberi latihan kepada mereka yang berminat untuk bersama-sama menjayakan kempen ABJZ di tempat masing masing agar lebih ramai lagi remaja dapat disantuni.

Ummi Rose memulakan pembentangan Sekilas ABJZ: Di sini bermula segalanya diikuti oleh Cikgu Siti Aini; Tip-tip pengurusan dan penganjuran ABJZ. Ummi Rose kemudian mengambil alih dengan pengisian Berapa Harga Dirimu diikuti oleh Kak Yus ;Aspek Reproduksi yang perlu ditekankan dalam ABJZ.Pada sebelah petang Kak Roha mengendalikan sesi Talk Show:Sembang-sembang Cinta; Beliau telah berkongsi tip tatacara mengendalikan forum. Para peserta seterusnya menjalani sesi Bengkel ABJZ: Bukan sekadar Teori mengikut kumpulan yang ditetapkan dan seterusnya mempersembahkan hasil perbincangan mereka.


Jazakumullahu khairan kathira kepada rombongan dari RS pusat kerana sudi datang ke utara walaupun mempunyai banyak urusan lain. Saya bagi pihak penganjur memohon kemaafan di atas segala kekurangan dan kesilapan yang berlaku.Semoga peserta dapat menggunakan segala tip yang telah dikongsi oleh rombongan RS pusat dengan sebaik mungkin. Kerja-kerja nahi mungkar terutamanya dalam menangani gejala sosial perlu digiatkan di serata tempat. Semoga usaha-usaha kerdil ini dikira sebagai amal soleh kita kelak.

Bloggers Nukilan Hati dan My Heart Draws A Dream tak menang tangan di kaunter pendaftaran @ jualan buku-buku terbitan JIM Media dan tulisan aktivis JIM sendiri

Buku-buku tulisan aktivis JIM agak laris dijual dengan adanya dua program selari pada hari tersebut (selain belian peserta TOT ABJZ). Ketiga-tiga program berkongsi ruang legar yang sama (agak comel untuk tiga dewan). AJK pendaftaran TOT ABJZ telah bertukar menjadi penjual buku selepas waktu rehat. Agak sibuk juga mereka melayani soalan-soalan dari orang luar. Pada mulanya mereka tertarik dengan bunting yang diletakkan dipintu masuk dewan. Kami mengambil peluang untuk menerangkan tentang ABJZ dan JIM dan seterusnya mempromosikan buku-buku tulisan aktivis JIM. “Buku ini sesuai untuk anak remaja. Penulisnya ada kat dalam. Encik/puan nak autograf ke?”, “Yang ni pulak sesuai untuk isteri”.

Sumber:

Inayah Isa

Koordinator

TOT ABJZ Zon Utara

Ulat Buku

Buku...buku...bulu...Memang nak buat macam mana dah minat membaca. Cuma kalau dapat dikongsi bahan bacaan yang banyak ni memang baik. Itupun banyak yang sudah dihantar ke rumah anak yatim Pengkalan Hulu, Pusat Sumber SKTU dan lain-lain tempat. Saban tahun koleksi buku dan majalah pasti bertambah. Kalau LHDN bagi lebih dari RM500 untuk rebet rasanya kami boleh sampai taget tu kot. Anak pernah berangan-angan dengan saya ingin membuka kedai sewa buku di HUSM. Ketika menemani biras beberapa bulan dulu memang saya tengok pesakit dan orang yang menunggu pesakit semuanya rajin membaca. Dari baca Yassin, baca surat kabar, majalah, novel hatta baca kertas pembungkus nasi lemak. Maklumlah banyak masa terluang apa lagi yang boleh dibuat. Nak tidur macam dah tak larat nak tidur. Itu yang datang idea nak buka kedai sewa buku. Stok boleh angkut dari Bertam saja. Malangnya tak ada pula lot yang kosong. HUSM tu memang ramai pesakit dan pelawat juga siswa/i. Memang berpotensi.

Budaya membaca memang sangat baik. Kempen demi kempen dijalankan. Cuma saya rasa satu budaya yang patut ditanamkan ke jiwa anak-anak ialah sayangi buku. Saya masih ingat semasa di UK dulu di hujung minggu ada Car Booth Sale. Saya bukan jenis yang rajin mengumpul pinggan mangkok atau ornamental jadi yang saya cari sudah pasti buku disamping toys untuk anak-anak. Bermacam jenis buku yang dijual dengan harga yang sungguh murah. Ketika itu dengan kadar 5 pound pun kita sudah dapat banyak buku dan toys. Buku mereka sangat cantik dan kreatif. Ada buku yang gambar timbul, berbunyi dan bercakap.Anak-anak kecil sudah pasti suka lah buku macam tu tapi seperkara anak orang putih ni , buku yang di jual masih eluk tak ada pun bahagian yang terkoyak.Tapi kalau buku-buku dah sampai ke tangan anak-anak kita,
tak tahulah berapa lama boleh tahan. Tengok sahajalah buku dan majalah yang ada di perpustakaan. Kalau tidak pihak Pustakawan membaikinya sudah pasti cuma tinggal kulit atau isi yang berselang-selang muka.

Saya ada juga pinjamkan buku kepada orang tetapi bila buku sudah comot atau hilang terus saya sudah menjadi hilang roh berkongsi. Maklumlah untuk membeli buku yang bukannya murah terpaksa dijimatkan duit pasar dan keperluan lain. Bila dipinjamkan tak pandai pula menjaga amanah. Jadi sekarang buku-buku hanya dikongsi dengan anak-anak dan saudara terdekat sahaja. Nilai sesebuah buku itu bagi saya ibarat kata hanya jauhari yang mengenal manikam. Saya minat berbagai gendre. Ahli rumah pun begitu. Jadi kami pernah masuk Pertandingan Perpustakaan Keluarga anjuran Perpustakaan Awam Negeri Kedah.Dapatlah hadiah saguhati. Payah nak menang sebab syaratnya kena susun ikut sistem yang depa tetapkan. Bukan kerja mudah nak label lagi. Tapi saja cuba nasib dan dapat sijil penyertaan. Mungkin lepas ni kena katalog kan buku pulak. Baru tahu mana yang ada mana yang hilang. Agaknya saya ini memang mengikut perangai arwah bapa.Buku...buku...kitab...majalah..keratan akhbar......