Wednesday, June 24, 2009

Qurratun 'Ain:Penyejuk Mata

Kini Zaffran sudah berusia 11bulan+ .Macam-macam kelakunya yang membuat rumah kami sarat dengan gelaktawa. Bertuahnya dia kerana menjadi cucu sulung ke dua-dua keluarga. Ramainya yang melayannya setiap kali pulang. Malah dia sudah ada sekelompok peminat dari kalangan teman-teman ibunya mahupun teman ibu dan ayah saudaranya. Jika rajin silalah melilau ke blognya

Lahirnya memang dinantikan. Berbagai persiapan mental dilakukan oleh ibunya . Dia telah berazam untuk menyusu dengan susunya sehingga 2 tahun. Alhamdulillah, sehingga kini dia masih belum berhenti menyusu dan belum dicampur susu formula. Bukan satu tugas yang mudah . Berbagai rintangan yang dilalui untuk menyempurnakan tugas ini. Emosi kena stabil jika tidak susu tak mahu keluar. Makan/minum kena cukup jika tidak susu tak cukup untuk menampung keperluan Zaffran se hari. Peralatan kena dicari bagi menjamin kebersihan dan jangkahayatnya. Hai..kalau calang-calang orang mudah lagi beli susu 1 tin dan serahkan pada pengasuh. Cukup masa bancuh dan minumlah sehingga habis. Bertuahnya ibu-ibu zaman sekarang, maklumat di hujung jari. Nak cari info, nak sembang hal penjagaan anak, nak beli barang semuanya online sahaja. Zaman saya bersalin anak sulung di UK dulu, manalah ada semua itu, nak tahu apa-apa kena pergi baca buku atau majalah kat library Sussex U. Nak dapat info pasal penjagaan anak kena tunggu surat dari aruah emak atau abah. Tu pun makan masa berminggu-minggu jugak. Semua main yakin dan tawakkal sahaja. Tapi rupanya setiap kejadian ada hikmahnya yang kita akan sedar lama selepas itu. Sudah biasa bersalin dan berpantang sendiri kami berdua menjadi sangat berdikari. Susah senang diharungi bersama. Masa di Kuantan emak dan arwah emak sempatlah datang membantu seminggu. Lepas itu pandai-pandailah mengurus diri dan anak-anak. Suami akan menyambung tugas sebaik pulang dari Polisas ketika itu. Pernah dia terlena di celah lipatan kain lampin dan baju-baju. Bila saya kejutkan perkatan pertama yang keluar darinya"Rupanya lipat baju ni bosan jugak no!" Haa...tau pun! Siapa kata tugas surirumah tak stress. Kalau kerja pejabat tahunya masuk pukul 8pagi keluar pukul 5ptg. Di rumah mana ada itu semua. Tapi tiap peluh yang meleleh akan dikira Allah sebagai amalan salih sekiranya kita ikhlas. Mulut jangan mengungkit dan hati jangan merungut.Hilang semuanya bagai debu yang berterbangan. Macamana nak dapat hati yang ikhlas? rajin-rajinlah pergi belajar agama dan dengar ceramah agama. Rasa ingin amalkan sesuatu akan timbul di hati kita bila kita kerap mendengarnya.


Masa anak-anak masih kecil, saya sentiasa menjaga lidah agar tidak memarahi mereka dengan perkatan yang tidak baik. Takut malaikat turut mendoakan. Kalau marah sangat masuk bilik air menangis puas-puas. Bila sudah reda baru keluar dan pura-pura sibukkan diri dengan pingganmangkok atau mengemas apa yang patut. Sekali sekala bila suami marahkan anak-anak saya tidak akan masuk campur. Cuma bila dah nampak keterlaluan saya akan tarik anak dan ajak masuk ke bilik. Sambil memeluk saya akan fahamkan mereka kenapa abu marah sangat. Ajar mereka pergi meminta maaf kepada abu.


Hari ini sudah I Rejab . Ini bermakna Muhammad Zaffran Rizqi (MZR) sudah setahun bersama kami semua. Kehadirannya sangat kami nanti-nantikan. Bila dia pulang ke Bertam sudah pasti wannya akan cepat-cepat pulang dari pejabat untuk bersamanya. Senyuman, tangisan, gelaktawa, kerenahnya semua menjadi sketsa yang sangat menyenangkan.
Sejak tapak kaki sebesar dua tapak jari dia dibelai dengan penuh kasihsayang.Dicukupkan segala keperluan tanpa ada yang kurang. Berbahagialah anak-anak yang diberi perhatian dan dilimpahi kasihsayang .Di luar sana betapa ramainya bayi yang dibuang, yang ditinggalkan tanpa sedikit rasa belas kasihan. Anak adalah anugerah Allah yang paling berharga. Jika kita tidak mampu menjaga mereka kenapa tidak kita serahkan kepada ramai pasangan yang inginkan kehadiran cahayamata. Masyarakat kita selalu takut apa orang kata, tapi kita selalu tidak takut apa yang Allah akan soal nanti. Saya terlibat dengan Raudatus Sakinah. Sedihnya saya melihat pelatih di situ berpantang dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Mereka tertipu dek dunia sehingga melahirkan anak tidak sah taraf. Rata-rata mereka masih sangat muda seawal 14 tahun. Ketika kawan sebaya riuhrendah menggalas beg sekolah mereka sudah terbeban dengan kandungan yang tidak diperlukan. Salah siapa? Sudah pasti masyarakat akan menuding jari kepada ibu dan ayah mereka. Renung-renungkanlah , agar generasi Islam yang kita kasihi tidak terjebak dalam gejala ini. Yang pasti iman mesti mantap agar mereka menjadi seperti ikan yang berenang di laut. Isinya tetap tawar walaupun berada di lautan yang bergaram.

1 comment:

Lady Qay said...

tq umi atas post yg ckup mberi smgt...