Thursday, July 9, 2009

Perpisahan Yang Manis 1

Perpisahan itu ada ketikanya menjadi manis. Namun bukan semua orang dapat mengecapi kemanisannya. Malah Islam membenarkan perpisahan atau perceraian sebagai jalan terakhirmencari jalan penyelesaian sesuatu kemelut. Perpisahan yang ingin diperkatakan di sini ialah perpisahan untuk mencari ilmu. Hadis juga menggalakkan kita menuntut ilmu hingga ke negeri China. Jauh dan memang memerlukan banyak pengorbanan untuk mencapai matlamatnya. Anak-anak yang diasuh dibelai dan dihantar ke sekolah. Ini semua sebagai persediaan untuk mereka meneruskan hidup di hari muka. Sebagai ibu bapa kita ingin sentiasa memberi yang terbaik. Melindungi mereka selama yang kita mampu. Namun bila tiba ketikanya mereka perlu berangkat pergi. Ada yang seawal 13tahun sudah mengenal tangga asrama, ada pula yang bermula ketika usia 16 tahun, 18 tahun dan ada yang 20 tahun atau lebih.


Sekiranya kita inginkan anak-anak tinggal di asrama . Seawal mereka di tahun empat atau dalam usia 10 tahun mereka perlu dilatih. Membasuh baju menggunakan berus dan sabun, menggosok pakaian dan membasuh kasut sekolah. Tidak dilupai beri mereka peluang mengemas katil, mengemas bilik dan peralatan belajar mereka. Sekiranya mereka sudah dilatih dan diberi persiapan mental sudah pasti hidup di asrama bukanlah sesuatu yang sukar. Tahun pertama anak di asrama ibubapa jika mampu perlu meluangkan masa di hujung minggu untuk menziarahi mereka. Jika tidak mampu utuslah surat atau poskad dua minggu sekali. Ungkapkan kata semangat dan ucapan kasihsayang kita kepada mereka. Jika tidak dapat mengunjungi mereka kirimkanlah bungkusan makanan .Walaupun sekadar biskut atau kek anak-anak akan sangat menghargai. Tambahan pula bila dapat dikongsi bersama teman sebilik. Apatah lagi jika teman-teman pula memuji keenakan juadah yang dikirim sudah pasti anak-anak akan merasa bangga. Pengalaman ini telah saya lalui sekian lama. Sehingga kini saya akan tersenyum senang bila ada kawan-kawan anak-anak menyebutkan kek coklat dan sambal udang. Apatah lagi yang
sedang jauh di benua lain memburu ilmu.

Tidak adil kita menghantar anak-anak ke asrama sedangkan kita tidak pernah menyediakan mereka untuk berdepan kejutan budaya di sana. Mereka bagaikan tentera yang berperang tanpa senjata. Sudah pasti mereka akan cepat mengalah dan terus berundur. Setiap tahun Kementerian Pelajaran dan MARA terpaksa menolak banyak permintaan untuk masuk ke SBP dan MRSM. Jadi alangkah ruginya jika anak kita yang berpeluang ke sana malah telah pun mendaftar diri terpaksa bertukar ke sekolah harian. Alasan kerana tidak tahan dengan suasana dan sistem hidup di sekolah berasrama penuh. Apakah tega kita membiar mereka mengalah sebelum berjuang?

2 comments:

`Ammar Muhd said...

terima kasih kerana memberi kepercayaan pd anak2 utk mencari hidup sendiri!

Ibu Alin said...

Sebab nak ajar anak2 berdikarilah seorg ibu sanggup berpisah dgn buah hatinya...