
Hari ini kak lang @kak chaq@Kauthar menyambut ulangtahun ke 23. Panggilan lang biasanya diberi kepada anak yang ketiga. Dia bersama kak ngah dilahirkan di Beserah,Kuantan.Bukan di hospital tetapi di rumah. Bila ditanya kenapa bersalin di rumah?Kes tak sempat pergi hospital? Tak ! memang nak bersalin di rumah supaya dapat menjaga aurat. Ketika itu mungkin tidak semua hospital mesra ibadah macam sekarang. Untuk mengelak segala kontravasi saya memilih bersalin di rumah. Doktor, Bidan dan jururawat di Pusat Kesihatan Beserah mengizinkan kerana saya tiada sebarang masalah kesihatan . Bila berpantang emak mertua dan arwah mak KL datang membantu mengurus diri dan menjaga kak lang dan kakak. Kalau tak silap ketika itu pak njang Zubair baru balik dari US dan berkerja di pelantar minyak di Kemamam dan mak tok datang bersamanya naik bas Cepat. Ketika itu Raihan berusia sebulan .

Semasa berusia 1 tahun 6 bulan, kak lang dibawa ke Liverpool mengikuti Abu Muhammad(AM) belajar. Semasa di Subang Airport bukan main lagi kak lang berlari ke sana ke sini sehingga arwah tok lang nya berkata"Macammanalah abu nak pi mengaji, anak-anak pun macam peluru (Tak dok diam)". Sambil menggelengkan kepala.

Lang mula berpisah bila dapat masuk ke SMKAK. Sekolah harian yang berasrama penuh. Mujurlah jarak dari rumah AS tidak jauh.Dapatlah berulang-alik menjenguknya. Semasa di tingkatan 1 ada-ada sahaja alasannya minta saya datang ke asrama. Bila melangkah ke ting.2 sudah makin berkurang. Lima tahun juga di situ dan ketika dia hampir menduduki SPM kami berpindah ke Bertam.

Selepas SPM bermulalah pencarian arahtuju. Saya mendorongnya memilih bidang pra-sekolah kerana minatnya terhadap kanak-kanak. Di masa yang sama saya juga menggalakkan dia memilih Seni Kulinari di UITM. Kenapa? Sebab sedari kecil dialah yang paling rajin membantu di dapur terutam bab masak -memasak .Menggalahkan kakak-kakaknya. Pernah terjadi satu peristiwa ketika dia berusia 3 tahun, kami berkunjung ke rumah seorang sahabat di Perlis, isteri tuan rumah membancuh milo dalam teko kaca dan kak lang menolong mengacau. Kacau punya kacau sampai berlubang teko itu.Sudah pasti milo yang panas melimpah keluar dan melecurkan kaki kecilnya. Mungkin peristiwa itu yang melakar jalan untuk dia menjadi bakal chef dalam tempuh beberapa minggu sahaja lagi. Insyaallah.
Tugasan yang paling mencabar bila kak lang diberi kepercayaan memasak untuk pengantin di hari perkahwinan kakak. Saya mencadangkan buat menu western kerana bila di meja makan pengantin tidak begitu berselera untuk makan.Jadi apakata jika kita buat yang mudah.Ertikata mudah dimasak dan mudah dimakan. Maka jika tidak silap terhidanglah Chowder Soup, Lasagna dan Black Forest.
Sebaik tamat diploma kami menggalakkan dia meneruskan pengajian ke peringkat ijazah. Walaupun pencapaian lang masa PMR dan SPM sederhana sahaja tetapi bila di universiti prestasinya sangat membanggakan. Munkin kerana minat maka dia memberi sepenuh hati dan perhatian kepada semua subjek. Pernah juga mencapai Anugerah Dekan. Dari sini saya belajar, tiap anak memang berbeza dalam semua segi. Kita tidak boleh memaksa mereka menjadi apa yang kita ingin jadi.Biarlah mereka memilih bidang yang mereka sukai asalkan bidang itu tidak menyanggah syariat dan ada prosfek kerja di masa hadapan.
Kini kak lang akan mengakhiri zaman pelajarnya dalam beberapa minggu sahaja lagi. Dunia di luar akan lebih mencabar. Tiada lagi leteran pensyarah semasa lecture atau kepala berat kerana menyiap tugasan. Yang pasti di luar sana keadaan akan lebih sengit dan mencabar. Berbagai cabaran menanti bagi menguji ketabahan , keupayaan hatta keimanan diri. Sempena ulangtahun ini Ummi & Abu sentiasa mendoakan agar kak lang berjaya di Final nanti dengan CGPA yang mantap.
"Teruslah melangkah kerana ummi & abu sudah tidak upaya mengikut setiap langkah lang cuma doa-doa sahaja mampu mengiringi. Dan lang sematkanlah di hati jika satu ketika nanti kak lang berada di puncak kejayaan atau kegemilangan jangan pernah lupa di satu ketika dulu ada ibubapa, sanak saudara,guru, pensyarah serta kawan-kawan yang membantu menempatkan kak lang di situ."
SELAMAT MENCAPAI USIA BARU,
BERTAMBAH USIA ,
MUGA BERTAMBAH AKAL DAN AMAL
2 comments:
Happy besday tu kaklang......x dan nk jumpak ....kalut ja memanjang weekend
thanks abummi..tanpa abummi lang tak jd mcm skang..dah rasa besar arini..23..tuanya..
Post a Comment