Hari -hari yang berlalu ibarat daun-daun kehidupan yang gugur satu demi satu. Maka akhirnya pohon yang megah berdiri sujud rebah ke bumi menunggu perhitungan seterusnya.
Thursday, January 1, 2009
Mereka Yang Ku Kenang 1
Aku dan anak-anak baru saja pulang ke rumah setelah 2 hari di Alor Setar. Aku sangat gembira dapat mengisi hariku dengan berbakti kepada ibu mertuaku. Meskipun pada awalnya kami bercadang menurunkan barang-barang yang diangkut naik ke atas rumah kerana banjir tetapi terpaksa ditangguhkan kerana kesuntukan masa. Aku mengenali emak dan abah ketika menjejakkan kaki buat pertama kali ke rumah mereka pada tahun 1980. Kini sudah 28 tahun aku menjadi menantu mereka. Hari demi hari kasih aku kepada mereka makin kental.Aku merindui jika lama tidak berkesempatan pulang dan jika ke mana-mana ada sahaja yang aku cari sebagai buahtangan untuk mereka. Bila anak-anak pulang aku akan cuba mencari masa untuk membawa mereka bertemu wan dan mak tok mereka. Atau paling tidak aku meminta adik iparku membawa mak dan abah untuk makan-makan di rumahku. Emak dan abah hanyalah orang biasa.Abah seorang petani dan emak pula surirumahtangga. Mereka adalah mertua yang sangat baik terhadapku. Aku memegang teguh pesanan arwah emak ketika mula melangkah ke alam rumahtangga agar mengasihi mertua sepertimana aku kasih kepada suamiku. Tanpa mereka siapalah suamiku ,tanpa susahpayah dan pengorbanan mereka tak akan suamiku dapat berada di tempatnya hari ini. Inilah juga yang kupesankan kepada anakku. Jika aku mendapat mertua terbaik maka aku juga ingin menjadi mertua terbaik buat menantu-menantuku. Aku sentiasa berlapangdada dalam banyak perkara. Sebarang kekeruhan tidak aku biarkan terus kelabu dan seperkara lagi aku juga banyak memegang pesanan arwah Wan"masuk kandang kambing mengembek". Wan risau sangat melepaskan aku hidup di kampong kerana sedari kecil aku hanya kenal kerlipan neon kota. Tapi...alhamdulillah kerana aku sentiasa positif dan cepat belajar menyesuaikan diri dengan keluarga baru ku maka mudah aku melalui berbagai keadaan sehinggalah hari ini.. Aku berdoa agar Allah terus memberiku peluang untuk berbakti kepada mak dan abah sehingga hujung usia mereka.Ameen.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment